Sekilas
- Seorang lelaki memukul dan mengugut pelanggan sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang selepas ditegur kerana memotong barisan.
- Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan suspek kini dalam pencarian polis.
- Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Berang ditegur kerana memotong barisan, seorang lelaki bertindak memukul dan mengugut pelanggan sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa menegur suspek yang memotong barisan ketika membuat pembayaran.
"Suspek kemudian bertindak memukul dan mengugut mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini tular video di media sosial dipercayai dimuat naik seorang individu yang mendakwa dirinya dipukul dan diugut.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa menegur lelaki terbabit yang dipercayai memotong barisan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shamie Yosup di talian 013-6463069 atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
Sumber: Sinar Harian