Sekilas
- Ryan Bakery berkongsi pandangannya tentang filem Banduan di Instagram Story dan memberikan markah 10 per 10 bintang.
- Filem Banduan adalah adaptasi daripada filem India, Kaithi, dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
- Filem aksi ini menampilkan pelakon terkenal seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, dan Datuk Afdlin Shauki.
Pempengaruh Ryan Bakery menarik perhatian ramai apabila berkongsi pandangannya tentang filem Banduan arahan Kroll Azry di Instagram Story miliknya.
Dalam perkongsian itu, Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery berkongsi bahawa dia benar-benar menikmati keseluruhan penceritaan dan pengalaman menonton filem tersebut sehingga dia tidak teragak-agak untuk memberikan markah tertinggi.
"Paling terbaik! Saya kasi 10 per 10 bintang," komennya ringkas.
Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Number Twenty One Media ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.
Filem aksi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.