Pelakon, Sharnaaz Ahmad yang sinonim dengan gelaran Presiden Duda, mengakui masih selesa hidup solo dan tidak terburu-buru memikirkan soal jodoh.
Bagi pelakon terkenal menerusi Juvana itu, urusan hati sepenuhnya diserahkan kepada ketentuan Tuhan.
Advertisement
"Saya masih belum lagi berjumpa jodoh. Saya masih tamak dengan jawatan saya sebagai presiden duda. Saya masih nak pegang sehingga 10 penggal.
"Namun jika ada jodoh saya tidak menolak. Saya akur dengan ketentuan Allah. Tetapi buat masa sekarang ini, saya rasa Tuhan dah beri saya macam-macam. Tuhan beri saya rezeki, Tuhan beri saya kesihatan walaupun ada dugaanya sedikit.
"Jadi saya rasa kalau Tuhan nak bagi jodoh, dia mesti bagi. Tapi mungkin dia tak bagi lagi," jelasnya.
Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui di Malam Gala Magik Rompak di IOI Putrajaya pada Isnin.
Dalam masa sama, Sharnaaz turut berkata bahawa tidak mencari pasangan secara terburu-buru kerana percaya jodoh akan hadir sendiri pada waktu yang tepat.
“Saya tak jumpa lagi yang betul-betul saya nak. Saya tidaklah mencari yang sempurna. Tetapi saya memilih untuk tidak mencari dan membiarkan jodoh itu mencari saya. Kalau orang itu datang kepada saya, saya akan teruskan," ujarnya.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut mengakui ada yang cuba mendekatinya, namun dia lebih selesa berkawan tanpa melangkah ke arah hubungan serius.
“Saya ada jumpa. Ada yang mendekati, ada yang saya cuba dekati. Tapi lebih kepada kawan baik. Kalau nak cakap lebih serius, setakat ini memang tak ada. Memang betul-betul bergantung pada tuhan. Kalau ada, saya sendiri akan beritahu," tambahnya.
Walaupun masih bersendirian, Sharnaaz tetap bahagia dengan kehidupannya kini dan tidak menganggap ketiadaan pasangan sebagai masalah besar.
Sekadar rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada 31 Mac 2017 sebelum bercerai pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.