Sekilas
- Anuar Zain berkongsi cara dirinya ‘healing’ dengan menjauhkan diri dari perkara toksik dan mendekati sumber positif seperti keluarga dan rakan-rakan.
- Nyanyian juga menjadi medium ‘healing’ buat Anuar, terutama apabila menerima maklum balas positif daripada peminat yang memberi semangat baharu.
- Anuar akan menyanyi tiga lagu dalam Konsert Healing Night 2026 yang akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, bersama penyanyi popular lain.
Penyanyi terkenal, Anuar Zain berkongsi cara dirinya ‘healing’ setiap kali berdepan masalah atau melalui fasa mencabar dalam hidup.
Menurut Anuar, atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, dia memilih untuk menjauhkan diri daripada perkara toksik dan mendekati segala sumber positif seperti rakan terdekat serta ahli keluarga.
"Kalau saya nak heal, saya akan jauh dari perkara toksik dan negatif. Saya akan duduk dalam kepompong yang positif sahaja. Orang yang positif ini termasuklah keluarga dan rakan-rakan saya. Awak kena buat benda yang awak suka dan tidak menyusahkan orang seperti bawa kenderaan atau pergi membeli belah. Apa yang penting ialah kita dapat keluarkan masalah dari diri kita dan jalani kehidupan yang selesa dan tenang," katanya kepada Gempak.
Anuar berkonsgi perkara tersebut ketika menghadiri Astro bagi slot bersama radio di Bukit Jalil pada Khamis.
Pelantun lagu Lelaki Ini itu turut berkata bahawa nyanyian juga menjadi salah satu bentuk ‘healing’ buat dirinya, terutama apabila menerima maklum balas positif daripada peminat yang sentiasa memberikan semangat baharu.
"Menyanyi ialah cara saya untuk healing juga. Saya berpeluang untuk hiburkan hati saya dan orang sekeliling. Banyak perkara yang akan buat saya rasa tenang terutama bila saya dengar maklum balas orang mengenai konsert atau persembahan saya. Dari situ juga kita tau apa yang kita perlu buat untuk seterusnya," ujarnya.
Untuk Konsert Healing Night 2026, Anuar bakal menyanyikan tiga buah lagu dalam sebuah konsert berskala besar yang dijangka menghimpunkan antara 24,000 hingga 25,000 penonton.
Selain Anuar, konsert itu turut menampilkan barisan penyanyi popular seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra.
Healing Night 2026 dijadual berlangsung pada 24 Januari 2026 di lokasi ikonik, Stadium Merdeka Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.