"Saya menjerit lihat cucu terbaring dengan kepala dan mula dipenuhi darah, dikelilingi lima ekor anjing".
Darlinda Darlis, 56, terkejut melihat cucunya, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi yang berusia dua tahun, parah digigit anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat, pagi Sabtu.
Kejadian dipercayai kira-kira jam 7 pagi selepas kanak-kanak itu dihantar ibu bapanya ke rumah Darlinda.
Katanya, ia kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya kerana biasanya lebih kerap bersama datuk sebelah bapanya yang tinggal tidak jauh dari situ.
"Ibu bapa Nur Haira ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia nak ikut sekali.
"Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu manakala saya bersiap untuk mandi.
"Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing menggigitnya.
"Anak saya terdengar jeritan lalu keluar menyelamatkan Nur Haira yang cedera parah di kepala dan muka," katanya ketika ditemui, hari ini.
Darlinda bersama anaknya segera membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dirawat di zon merah dan terpaksa ditidurkan.
"Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.
"Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana kecederaan parah dialaminya," katanya.
Darlinda berkata, anjing liar yang menyerang Nur Haira dipercayai ditinggalkan individu yang memburu babi di kebun sawit berhampiran rumahnya.
"Mereka (pemburu) menggunakan anjing dan selepas selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini. Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini yang cepat membiak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Berita Harian