Kehilangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, benar-benar dirasai banyak pihak termasuk individu yang pernah menerima bantuan secara langsung daripadanya.
Di media sosial, pelbagai kisah kebaikan dan budi yang tidak pernah diketahui umum mula dikongsi sekali gus memperlihatkan sisi peribadi Allahyarham yang jarang diperkatakan.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads, seorang individu dikenali sebagai Shafika Sufian berkongsi pengalamannya memohon bantuan bagi melanjutkan pengajian ke universiti pada lapan tahun lalu.
Menurut Shafika, Meskipun Bung Moktar bukan wakil rakyat di kawasannya, beliau tetap menghulurkan bantuan tanpa sebarang syarat.
“Reach him 8 years ago, minta bantuan untuk masuk uni. He was not my DUN kawasan tapi dia bantu. Jumlah sangat besar dan tiada dia post anything, tiada pun minta saya bergambar untuk war-war dekat media sebab bagi bantuan.
“I never agreed to anything related to his scandal, itu urusan dia dgn Tuhan. semoga Arwah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kongsinya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis. Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.