Sekilas
- ILMU Hasanah #50 membincangkan makna kemerdekaan yang merangkumi pendidikan, keselamatan, penjagaan warga emas, kelestarian alam sekitar, warisan budaya, dan keterjaminan makanan.
- Enam penceramah dari pelbagai latar berkongsi pandangan tentang pentingnya pembelajaran berterusan dan kerjasama masyarakat untuk membina Malaysia yang inklusif dan mampan.
- Yayasan Hasanah menyeru rakyat Malaysia untuk terus belajar, mendengar, dan bergerak maju bersama demi masa depan negara yang lebih berdaya tahan.
Erti kemerdekaan tidak hanya terletak pada kebebasan sesebuah negara, sebaliknya turut merangkumi akses pendidikan, keselamatan, penjagaan warga emas, kelestarian alam sekitar, pemeliharaan warisan serta keterjaminan makanan.
Perkara tersebut menjadi antara inti pati ILMU Hasanah #50 yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 11 Ogos lalu menerusi tema Merdeka Through ILMU: Advancing Malaysia Together.
Sesi berkenaan yang juga menandakan perbualan ILMU Hasanah ke-50 sejak diperkenalkan pada 2017 menghimpunkan enam penceramah daripada latar berbeza untuk berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai Malaysia yang sedang dibina bersama.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, proses pembelajaran secara berterusan penting dalam usaha membentuk sebuah negara yang benar-benar merdeka.

“Ketika kita menghayati bulan Merdeka ini, kita diingatkan bahawa Malaysia yang merdeka juga haruslah sebuah Malaysia yang terus belajar, berkembang dan bergerak maju bersama,” katanya.
Antara perspektif diketengahkan ialah akses pendidikan oleh Rahman Imuda daripada Kromium Digital yang melihat setiap kanak-kanak memerlukan pendekatan berbeza untuk menemukan keyakinan, rasa diterima serta peluang belajar.
Sementara itu, Imelda George daripada Good Shepherd Services Malaysia menekankan isu keganasan berasaskan gender dengan menyifatkan kebebasan turut bermaksud seseorang dapat hidup dalam keadaan selamat dan bermaruah.
“Keganasan bukan budaya kita, tetapi sikap berdiam diri akan membenarkannya menjadi sebahagian daripada budaya kita,” katanya.
Sarina Mokhtar daripada Sunshine Qualicare pula membawa isu penuaan dan penjagaan warga emas dengan mengingatkan bahawa masa depan penuaan merupakan tanggungjawab bersama, manakala Ruth Yap daripada Zero Waste Sabah mengetengahkan kepentingan penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa secara mampan.

Dalam aspek warisan budaya, pengasas Lambo Sari Resources, Sarinah Said menekankan kepentingan memastikan pengetahuan tradisional dan amalan kraf terus diwarisi oleh generasi muda.
“Perpaduan ini tidak berlaku begitu sahaja, ia perlu dibentuk, diasuh dan dipelajari,” katanya.
Dr. Sarena Che Omar daripada PNB Research Institute pula menyentuh soal keterjaminan makanan dengan menekankan keperluan memodenkan sektor pertanian, menyokong petani kecil serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Menurut Yayasan Hasanah, enam perspektif tersebut memperlihatkan bagaimana pembelajaran daripada pengalaman sebenar masyarakat mampu membantu membentuk penyelesaian lebih baik untuk masa depan Malaysia.
Sempena sambutan Merdeka, Yayasan Hasanah turut mengajak rakyat Malaysia terus belajar, mendengar dan bergerak maju bersama dalam membina negara yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.