Skip to main content

Berita Tempatan

Bung Moktar Meninggal Dunia, Zizie Ezette & Keluarga Berduka

bung_moktar

Suami kepada pelakon Zizie Ezette iaitu Datuk Seri Panglima (Dr) Bung Moktar Radin disahkan telah meninggal dunia pada jam 1.46 pagi Jumaat.

Berita itu disampaikan Zizie menerusi hantaran di Instagram Stories.

Pemergian Bung Moktar, 66, itu turut disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan menerusi hantaran di Facebooknya.

"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," tulisnya.

Beberapa jam sebelum berita itu dikongsikan kepada khalayak, Zizie sempat memuat naik beberapa siri video di Instagram Stories memohon doa daripada orang ramai.

"They may not know his heart buat I do. For 16 years I've seen his kindness, his generosity, his selfless love for people. Please keep him in your prayers," tulis Zizie dalam sepotong video bersama anak-anak mereka.

Dalam hantaran berbeza, Zizie menyerahkan segala takdir kepada Yang Maha Esa.

"Some prayers don’t have words anymore, only tears and trust. Tonight I leave one beloved soul in Allah’s hands and let this moon carry what my heart can’t say out loud," tulisnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, dan dilaporkan dalam keadaan kritikal oleh sebuah portal berita tempatan.

Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengesahkan bahawa Bung Moktar berada dalam keadaan kesihatan yang serius selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Must-Watch Video

Advertisement