Sekilas
- Drama romantik kekeluargaan Viu Original, Wali Dalam Tangisan, akan ditayangkan mulai 19 November 2026 dengan 12 episod yang menampilkan pelakon muda Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny.
- Cerita mengisahkan hubungan rumit antara Alif dan Suraiya yang berdepan dilema cinta terlarang dan kesetiaan terhadap keluarga selepas kematian ibu saudara mereka.
- Drama ini diarahkan oleh Riza Baharudin dan Jamal Khan, dengan lagu tema Cinta Terlarang nyanyian Khai Bahar yang menambah emosi penceritaan.
Perkhidmatan penstriman video di bawah PCCW, Viu menutup tirai barisan penerbitan Viu Original tahun ini dengan drama penuh emosi, Wali Dalam Tangisan (Tears Between Us).
Bakal ditayangkan mulai 19 November 2026, drama romantik kekeluargaan sebanyak 12 episod ini menyaksikan penampilan sulung dua pelakon muda yang semakin mendapat perhatian, Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny, dalam siri Viu Original.
Gandingan mereka bakal mengetengahkan kisah cinta terlarang, kesetiaan terhadap keluarga dan pengorbanan.
Wali Dalam Tangisan mengisahkan Alif (Jazmy Juma) dan Suraiya (Ezzanie Jasny), pasangan bapa saudara dan anak saudara yang membesar bersama meskipun hanya berbeza usia empat tahun.
Hubungan rapat mereka mula berubah apabila Alif memperkenalkan teman wanitanya, Marsya (Syad Mutalib), kepada keluarga.
Suraiya mula dibelenggu rasa cemburu dan perasaan yang selama ini cuba dipendam kerana menyedari perasaan tersebut tidak sepatutnya wujud.
Tanpa pengetahuannya, Alif turut menyimpan perasaan yang sama, namun memilih untuk merahsiakannya demi
menjaga hubungan kekeluargaan.
Kematian mengejut ibu saudara Suraiya, yang juga merupakan kakak kepada Alif, memaksa mereka berdepan dengan hakikat hubungan emosi yang semakin rumit.
Dalam keadaan kesedihan, cemburu dan tekanan keluarga yang semakin memuncak, kedua-duanya berdepan dilema besar.
Adakah mereka sanggup melangkaui batas hubungan kekeluargaan demi cinta terlarang, atau mengorbankan kebahagiaan sendiri demi menjaga keutuhan keluarga?
Drama ini diarahkan bersama oleh dua pengarah berpengalaman, Riza Baharudin (Saat Aku Tahu, Sesaat Lebih, Aku Pilih Pelangi) dan Jamal Khan (Bidadari Tanpa Syurga), dengan penulis skrip Liza Nur (Seadanya Kita, Cela, Bidadari Tanpa Syurga).
Selain Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny, drama ini turut menyaksikan kemunculan semula pelakon Viu Original, Haidar Hasanudin (Cinta Dalam Sekam) dan Syad Mutalib (Bidadari Tanpa Syurga).
Menambahkan lagi sentuhan emosi dalam drama ini, Wali Dalam Tangisan turut menampilkan lagu tema khas berjudul Cinta Terlarang, nyanyian Khai Bahar, penyanyi popular yang telah meraih lebih 50 anugerah sepanjang kerjaya seninya.
Lagu ini turut menghidupkan pergolakan perasaan dan konflik cinta terlarang yang menjadi nadi utama penceritaan drama tersebut.