Sekilas
- Seorang rakyat Malaysia, Ahmad Shah, maut selepas dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan di Eumseong, Korea Selatan.
- Ahmad Shah yang menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu bekerja di kilang bersama isterinya.
- Semua suspek dalam kejadian itu sudah ditahan, termasuk seorang lelaki Malaysia yang disyaki terbabit dalam kes bunuh.
Seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Ahmad Shah dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan membabitkan rakannya di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Menurut adik mangsa, Ain Sephia, ketika kejadian, abangnya keluar dari rumah selepas dihubungi seorang rakan yang meminta bantuan selepas difahamkan terlibat dengan pergaduhan.
“Ketika itu abang sedang tidur sebelum dihubungi rakannya yang beritahu ada pergaduhan dan minta bantuan.
“Abang pergi dan kakak ipar juga tergerak hati mahu ikut sekali.
“Tak sangka rupanya ada sekumpulan lelaki dan rakan abang seorang saja ketika itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Ain memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi kakak iparnya yang turut berada di tempat kejadian.
“Pada mulanya kakak ipar hubungi saya pada 1.40 pagi tetapi saya tak perasan dan selepas itu mak pula hubungi beritahu abang kena tikam.
“Saya kemudian terus telefon kakak ipar sebelum dia beritahu abang sudah tiada dan ketika itu mereka sudah berada di hospital.
“Saya dimaklumkan abang sudah menjalani proses bedah siasat dan isterinya juga sudah memberi keterangan di balai polis tengah hari tadi.
“Saya difahamkan semua suspek terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, Ain berkongsi bahawa abangya sudah menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang bersama isterinya.
Terdahulu, media Korea Selatan melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di daerah Eumseong.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain.
Sumber: Berita Harian