Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Dah Banyak Tawaran Persembahan, Tawaran Jadi Duta Produk Pun Ada" - Elite 'Frust' Tersingkir Dari GV5

Kamaruddin Razal
14/10/2018 22:41 MYT
Kumpulan Elite yang dianggotai oleh Azza, Linda Rafar dan Sasha Saidin mengakui terkilan kerana tidak dapat meneruskan perjuangan di Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Di konsert minggu ketiga GV5, Elite menyampaikan lagu Ku Bahagia nyanyian asal Melly Goeslaw dan tersingkir di akhir program kerana mendapat markah paling rendah.

"Pada awalnya, kami akui, kami mempunyai komitmen tersendiri kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga dan kerjaya.

"GV5 membuatkan kami bertambah sibuk dan jadual kami amat padat. Namun begitu, melihatkan semangat peminat yang hadir saban minggu dan memberikan sokongan menerusi laman sosial, kami kuatkan tekad.

"Apabila tersingkir, kami rasa sedikit 'frust' kerana sudah pastinya peminat kami kecewa... Kami sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi tiada rezeki untuk kami terus melangkah ke minggu seterusnya.

"Biarpun kami sudah tersingkir, kami akan tetap meneruskan perjuangan Elite di luar program GV5 demi peminat yang disayangi," kata Linda.

Tambah Azza, GV5 memberikan impak positif terhadap Elite dan mereka mula menerima tawaran persembahan.

"Sebelum ini, kami memang masih aktif dalam industri hiburan membawa haluan sendiri, tetapi bukan sebagai Elite.

"Selepas kami muncul dalam GV5, kami amat bersyukur kerana sudah banyak mendapat tawatan persembahan sebagai Elite.

"Sampai tawaran persembahan untuk tahun hadapan pun sudah kami terima. Alhamdulillah, kami juga turut menerima beberapa tawaran untuk menjadi duta produk... Semuanya masih dalam perbincangan," kata Azza.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.

#Elite #GV5