Jaguh sukan Muay Thai, mencuri perhatian warganet selepas meninggalkan komen pedas pada salah satu hantaran milik Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia), Yusuf Azmi, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di TikTok Yusuf, Jojo meluahkan rasa kurang senangnya apabila Yusuf memetik namanya dalam konten yang didakwa cuba untuk memalukan sukan Muay Thai.
Advertisement
Menurut Jojo atau nama sebenarya Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berkata dia tidak berniat untuk bersikap biadap terhadap individu yang lebih berusia, namun baginya tindakan Yusuf itu seolah-olah mengundang kemarahan dan boleh menyebabkan orang hilang rasa hormat terhadapnya.
"Sudah-sudahlah memalukan sukan Muay Thai. Saya bukan nak kurang ajar dengan orang tua tetapi kalau orang tua perangai macam budak-budak, tiada siapa yang nak hormat. Jojo dan keluarga serta ramai lagi yang dah berada dalam komuniti sukan kombat ini sebelum kehadiran pak cik lagi. Kita memang dah dilatih dari kosong," tulisnya.
Jojo turut berkata perkongsian Yusuf itu hanyalah bertujuan untuk gimik semata-mata dan boleh mempengaruhi orang ramai terutamanya kanak-kanak.
"Pak cik datang bila sukan ni dah hype dan buat perangai memalukan untuk menaikkan kemarahan orang. Tolong la pak cik, penonton bukannya tiada otak nak percaya dengan gimik sampah macam ini. Pak cik ni terpaling alim. Pak cik tak rasa ke bila buat video seperti ini akan mempengaruhi budak-budak dengan keadaan kes yang berlaku kat Malaysia ni," ujarnya.
Anak kelahiran Sarawak itu juga menasihati Yusuf untuk melihat sesuatu isu dengan fikiran yang lebih terbuka dan melihat perkara dengan lebih luas, bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata.
"Fokus pada penyelesaian, bukan masalah. Lihat pada gambaran yang lebih luas. Jangan fikir nak duit je pak cik," katanya.
Terdahulu, Yusuf memuat naik sebuah hantaran yang menyatakan bahawa dia tidak terasa dengan tindakan Jojo kerana mendakwa Jojo sekadar mencari perhatian untuk meraih tontonan di media sosial agar tidak terus tenggelam dalam dunia sukan.