Berita
Daripada Mengata Orang, Lebih Baik Kutuk Diri Sendiri – Achey
Anggota kumpulan Bocey, Achey akui idea untuk persembahan minggu pertama di Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), diinspirasikan menerusi komen-komen netizen.
Achey atau nama Mohd Nasir Hamzah, 30, berkata, mereka mengambil komen-komen tersebut untuk dijadikan satu cerita dan menterjemahkannya dalam bentuk positif.
“Idea asal untuk minggu pertama ini memang daripada kami bertiga cuma kami mengambil inspirasi menerusi komen-komen yang diberikan netizen yang berbicara mengenai Bocey.
“Pelbagai bentuk komen yang kami terima tidak kira negatif atau pun positif. Kami ambil idea itu dan jadikannya sebuah cerita.
“Jadi bila kami buat persembahan, cerita kami itu tidak terjerumus kepada orang lain. Daripada mengata orang, lebih baik kami kutuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sejurus tamat MLM 2017 di minggu pertama.
Mengulas mengenai MLM 2017, Achey memberitahu Bocey masih mengekalkan momentum yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Treadmark Bocey kami tidak akan tukar, apa yang kami buat tahun ini adalah sama seperti tahun-tahun yang sudah.
“Maksudnya cara penyampaian lawak kami masih sama cuma yang bertukar adalah strategi dan juga kandungan lawak sahaja.
“Lawak kami adalah lawak yang dekat dengan penonton sebagai contoh perkara-perkara yang berkisarkan tentang kehidupan harian,” jelasnya.
MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.
MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Jangan lupa layari Maharaja Lawak Mega 2017 untuk berita terkini.
Teks oleh: Mya Amri
Must-Watch Video