Sekilas
- Fadhli Masoot kongsi pengorbanan masa bersama keluarga walaupun kerjaya lakonannya sedang meningkat naik.
- Dia sentiasa cari masa untuk bersama anak dan isteri, termasuk buat panggilan video dan hantar mesej suara supaya anak kenal dirinya.
- Fadhli juga berusaha tingkatkan imej dan gaya hidup untuk buktikan tanggapan kurang tawaran kerja selepas kahwin adalah salah.
Pelakon, Fadhli Masoot mendedahkan bahawa disebalik kerjayanya yang sedang memuncak, terselit sebuah pengorbanan yang tidak diketahui ramai iaitu pengorbanan masa bersama anak dan isteri.
Bagaimanapun Fadhli akan sentiasa mencari masa untuk diluangkan bersama keluarga kecilnya itu.
Dia yakin bahawa setiap rezeki yang dinikmatinya itu merupakan rezeki daripada anaknya.
“Saya percaya rezeki yang saya peroleh sekarang datang daripada rezeki anak. Cuma cabarannya, bila saya sibuk bekerja, saya kekurangan masa untuk bersama anak.
“Jadi, apabila saya dapat cuti dan tiada penggambaran, saya akan luangkan masa sepenuhnya dengan anak. Saya hanya melekat dengan dia sepanjang hari,” katanya kepada Gempak.
Fadhli berkata demikian ketika sesi eksklusif bersama pelakon filem Banduan di sebuah restoran di Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Pelakon filem Banduan itu turut berkongsi bahawa dia pernah melalui detik-detik merisaukan apabila anak kesayangannya itu tidak lagi mengenalinya akibat terlalu sibuk bekerja.
“Ada satu ketika, saya keluar selama tiga atau empat hari menjalani penggambaran. Bila saya balik dan cuba dukung dia, dia pandang saya dan terus lari. Dia seakan-akan tidak kenal saya.
“Bila saya nak dukung, dia menangis dan hanya mahu pergi kepada ibunya. Daripada itu saya sedar, tak boleh terus begini,” ujarnya.
Sejak kejadian itu, Fadhli nekad bahawa walau sesibuk mana pun urusan pekerjaannya, dia akan sentiasa mencari jalan untuk berinteraksi dan berkomunikasi bersama anaknya.
“Jadi, inisiatif saya sekarang, walau sesibuk mana pun, saya akan tetap hantar video, buat panggilan video atau sekurang-kurangnya hantar mesej suara, supaya dia sentiasa kenal dan ingat bahawa ini ayahnya.
“Alhamdulillah, sejak saya lakukan perkara itu, dia tetap kenal dan datang kepada saya seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu, Fadhli tidak menafikan bahawa wujud tanggapan daripada orang ramai mengenai kekurangan tawaran berlakon selepas berkahwin, namun dia tetap berusaha menambah baik imej serta kualiti hidupnya.
“Orang selalu cakap, awal-awal saya kahwin dulu pun, ramai kata, ‘Lepas kahwin nanti mesti kurang tawaran kerja, orang sudah tak panggil dan peminat pun berkurang.
“Tapi cara saya nak buktikan ia tidak betul adalah dengan sentiasa upgrade gaya hidup, penampilan dan gaya fizikal saya,” tambahnya.
Sekadar rekod, Fadhli mendirikan rumah tangga bersama isterinya iaitu Suraya Eusoff pada 2 Mac tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 3 Disember lalu.