Sekilas
- Dr. Zulkifli Hasan describes the dialogue session with PM Anwar Ibrahim as a key platform to bridge the gap between Malaysia's leadership and young Malaysians studying abroad.
- The event gathered over 1,000 Malaysian students from various countries, who actively engaged by asking critical questions during the 1.5-hour session.
- Dr. Zulkifli hopes these students will use their knowledge and experience gained overseas to contribute back to Malaysia, inspired by the spirit of Fastabiqul Khairat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan sesi dialog bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai platform penting dalam merapatkan jurang antara kepimpinan negara dan generasi muda Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.
Sesi berkenaan diadakan bersempena Program Konvensyen Anak Muda Islam (KAMI) dan Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 dengan menghimpunkan lebih 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Malaysia.
Mereka terdiri daripada pelajar yang sedang menuntut di Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Tunisia, Yaman, Arab Saudi, Maghribi, Turkiye, China, Jepun, India, Thailand, Perancis, Korea Selatan serta Amerika Syarikat.
Menurut Dr. Zulkifli, keterlibatan aktif para pelajar sepanjang sesi yang berlangsung lebih satu jam 30 minit itu memperlihatkan keprihatinan mereka terhadap pembangunan serta masa depan negara.
Bertindak sebagai pemudah cara, Dr. Zulkifli berkata beliau sengaja memberikan ruang sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri.
Malah, sambutan diterima cukup menggalakkan sehingga tidak semua pelajar yang mengangkat tangan berpeluang mengajukan pertanyaan.
“Suasana berlangsung dalam keadaan yang cukup meriah apabila pelbagai persoalan bernas dan kritikal dikemukakan, sebelum dijawab oleh Perdana Menteri dengan penuh ketenangan, jelas dan tuntas. Malah, begitu ramai pelajar mengangkat tangan untuk bertanya sehingga tidak semua berpeluang berbuat demikian.
“Saya amat bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri kesungguhan dan kematangan anak-anak muda kita dalam mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan secara terus daripada Perdana Menteri. Peluang seperti ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman mereka terhadap dasar kerajaan, malah menjadi suntikan motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pengajian serta kembali menyumbang kepakaran kepada tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berharap mahasiswa Malaysia yang sedang menimba ilmu di luar negara dapat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan diperoleh untuk kembali menyumbang kepada tanah air.
Beliau turut berharap generasi muda menjadikan ilmu sebagai bekalan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan semangat Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan demi kemakmuran Malaysia.