Skip to main content

Berita

Ditemui Selamat Selepas Hampir Dua Minggu Hilang, Jaslinda Susut Hampir 10kg

Astro Gempak 537

Sekilas

  • Jaslinda Saludin, wanita yang hilang hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, dilaporkan susut hampir 10 kilogram sepanjang tempoh tersebut.
  • Beliau kini dirawat di Hospital Tapah dengan keadaan semakin stabil dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
  • Jaslinda ditemui selamat oleh komuniti Orang Asli dan dibawa ke hospital selepas mengalami beberapa luka dan kecederaan ringan akibat terjatuh di hutan.
Advertisement

Berat pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, dianggarkan susut hampir 10 kilogram (kg) sepanjang tempoh berada di dalam hutan.

Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, perubahan fizikal wanita itu jelas kelihatan berbanding sebelum memulakan pendakian.

Menurutnya, pihak hospital bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar penurunan berat badan kerana tiada rekod perbandingan yang tepat.

“Secara tepat berapa berat telah turun, kita tidak boleh nyatakan. Namun seperti yang semua dapat lihat memang terdapat perbezaan ketara antara ketika beliau pergi mendaki dan ketika ditemui.

“Saya boleh katakan mungkin hampir 10kg,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tapah di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan serta Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.

Dr Wan Immi berkata, Jaslinda yang dibawa ke Hospital Tapah pada jam 9.26 malam, Sabtu lalu oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini menunjukkan perkembangan pemulihan amat positif.

Menurutnya, mangsa masih menerima rawatan di wad wanita hospital berkenaan, namun keadaannya semakin stabil dan bertambah baik dari hari ke hari.

“Beliau mengalami beberapa luka pada badan akibat berada lama di dalam hutan selain kecederaan pada kaki. Di kaki beliau ada simen, tapi bukan simen penuhlah.

“Perubahan yang ditunjukkan sangat positif dan beliau juga gembira kerana dapat bertemu semula dengan ahli keluarga,” katanya.

Dr Wan Immi berkata, Jaslinda turut menunjukkan semangat yang tinggi untuk pulih sekali gus membantu proses pemulihannya berjalan dengan lebih cepat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak hospital menjangkakan Haslinda boleh dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi sekiranya tiada sebarang komplikasi atau perubahan pada keadaan kesihatannya.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati, tiada kecederaan pada kepala atau otak walaupun mangsa memaklumkan pernah terjatuh beberapa kali sepanjang berada di dalam hutan.

“Pada peringkat awal rawatan, beliau memaklumkan terjatuh hampir 5 meter ke dalam gaung sehingga menyebabkan beliau hilang arah.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan saringan yang dijalankan mendapati tiada kecederaan pada kepala atau otak, hanya luka-luka luaran sahaja,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh di sini.

Penemuan mangsa dimaklumkan oleh komuniti Orang Asli setempat kepada pihak berkuasa sebelum dibawa ke Hospital Tapah bagi menjalani rawatan lanjut.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

SCVCN Running Sunglasses Cool UV400 for Unisex

SCVCN Running Sunglasses Cool UV400 for Unisex

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Vans Unisex Vans OLD SKOOL MARK SB

Vans Unisex Vans OLD SKOOL MARK SB

Men's Loose Fit with Tapered Leg & Multi-Pocket Design Baggy Pants M-8XL

Men's Loose Fit with Tapered Leg & Multi-Pocket Design Baggy Pants M-8XL

ELGINI E16213 Seluar Yoga Pinggang Tinggi S-XXL | High-Waist Yoga Pants

ELGINI E16213 Seluar Yoga Pinggang Tinggi S-XXL | High-Waist Yoga Pants

Yonex Unisex Skill6 Badminton Shoe (SKILL6-MBLNLM) Sport Planet 63-04

Yonex Unisex Skill6 Badminton Shoe (SKILL6-MBLNLM) Sport Planet 63-04

Must Watch Video

Advertisement