Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad mendedahkan dia bakal menerbitkan sebuah filem yang bertemakan buli berjudul 'Ragging - Melawan Bungkam'.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Uyaina amat teruja berkongsi berita baik itu setelah dihujani dengan pelbagai soalan daripada netizen mengenai kehidupannya selepas berhenti mengacara di rancangan televisyen, Wanita Hari Ini (WHI).
Advertisement
"Saya selalu dapat soalan yang sama berkaitan apa yang saya buat selepas keluar dari WHI, selepas sebulan membuat persediaan bersama tenaga produksi, akhirnya saya boleh kongsi perkara ini pada korang semua.
"Saya bakal menghasilkan sebuah filem tidak lama lagi. Buat masa sekarang, saya sedang dalam proses menghasilkan filem berjudul Ragging - Melawan Bungkam yang mengangkat kisah ketidakadilan dan kematian membuli serta ragging culture yang tidak kesudahan.
Uyaina turut berkata dia akui sedikit gugup dalam menghasilkan karya tersebut namun tetap bersyukur kerana dikelilingi pasukan yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sumber kekuatannya.
"Saya terpanggil untuk membuat filem ini dan ia adalah berdasarkan kisah sebenar dan hari ini ialah hari pertama pengembaraan.
"Agak 'nervous' tapi sejujurnya saya lebih teruja menghasilkan sebuah projek. Sangat berpuas hati. Selalunya saya berada di depan kamera, Sekarang di belakang pula.
"Pengacaraan dan lakonan sentiasa menjadi sebahagiaan dari diri saya dan sekarang saya akan menjadi penerbit serta penulis skrip. Masih banyak perkara yang saya perlu belajar dan saya bersyukur ramai di sekeliling saya yang banyak membantu dan mengajar saya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan artis tampil memberi kata-kata semangat buat Uyaina dan mendoakan yang terbaik untuk karya terbaharunya.
