Berita
Duo Star: Persembahan Sarah Terganggu Kerana Zainal Abidin?
Kehadiran penyanyi Zainal Abidin sebagai juri menggantikan tempat Datuk Hattan pada konsert minggu keempat Duo Star, dikatakan sebagai penyebab persembahan Sarah Fazny terganggu.
Bagaimanapun Sarah yang berpasangan dengan Ronie, ketika dihubungi Astro Gempak menafikan perkara tersebut.
“Kehadiran Zainal Abidin pada malam konsert minggu lalu, langsung tidak menjejaskan fokus saya kerana sebelum ini kami pernah bekerja dalam sebuah program realiti lain.
“Malam itu saya rasa persembahan saya okay sahaja dan saya ‘have fun’ serta ‘enjoy’ bersama Ronie, mungkin bukan rezeki dan kami terpaksa bertanding di pusingan Lagu Takdir,” katanya.
Apabila ditanya tentang pasangan mana yang merupakan saingan terdekatnya dan Ronie, Sarah memberitahu kesemua peserta Duo Star mempunyai kehebatan dan kelebihan masing-masing.
“Setiap minggu saya dan Ronie akan cuba memberikan persembahan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada juri.
“Sebagai pendatang baru, saya juga terbuka menerima kritikan dan teguran juri dan akan berusaha untuk memperbaiki lagi mutu vokal saya pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu Sarah turut berbesar hati apabila digandingan dengan penyanyi berpengalaman seperti Ronie.
“Ronie banyak membantu Sarah untuk tidak berasa gementar di atas pentas. Selain penyanyi yang bagus, dia juga seorang abang yang sangat baik,” katanya.
Untuk menyaksikan pasangan manakah yang akan disingkiran pada pusingan Lagu Takdir minggu ini, jangan lupa tonton Duo Star, hari Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Adakah Sarah dan Ronie akan menyingkirkan Kaka dan Awi Rafael? Sama-sama kita nantikan.
Foto: Instagram rz.works
Must-Watch Video