Sekilas
- Seorang guru tadika tampil dedah kejadian dera kanak-kanak yang berlaku hampir setahun di tempat kerjanya, termasuk pengurungan dan pukulan terhadap murid berusia 4 hingga 6 tahun.
- Antara tindakan dera yang didedahkan termasuk memaksa murid makan makanan pedas, menonjol kepala, dan denda jemur di bawah panas kerana kesalahan kecil.
- Video guru menonyoh makanan pedas ke mulut seorang pelajar tular dan mencetuskan kemarahan netizen di media sosial.
Baru-baru ini tular video memaparkan seroang guru sebuah tadika yang menonyoh mulut seorang pelajar perempuan hanya kerana kanak-kanak itu tidak mahu makan.
Terbaharu, seorang guru yang didakwa merakam kejadian itu tampil membuat pendedahan selepas dijemput penyanyi rap, Caprice untuk mengadakan sedikit temu ramah.
Tidak tahan menyaksikan beberapa siri deraan selama hampir setahun bekerja di situ, wanita berkenaan mendakwa beberapa orang murid telah didera dengan cara dikurung dan dipukul hanya kerana membuat kesalahan di kala usia mereka yang masih muda dan belum matang.
“Saya salah seorang cikgu dan sudah bekerja di sini hampir setahun iaitu selama 11 bulan. Sepanjang saya bekerja, saya saksikan terlalu banyak (kes dera).
“Rakan saya itu pernah kurung beberapa orang murid dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun dalam bilik yang gelap kerana mereka telah ‘dicop’ sebagai pelajar nakal. Dalam bilik itu tiada cctv.
“Seorang lagi rakan pernah denda jemur dua pelajar di tengah panas sebab masa perhimpunan anak-anak ini bermain dengan ulat.
“Beberapa pelajar juga kepalanya ditunjal hanya kerana datang sekolah tak mandi,” dakwanya.
Tidak dapat menahan sebak, wanita itu kemudiannya memaklumkan dia tidak berniat untuk berdiam diri selama ini kerana tidak mampu dan tidak berupaya untuk membantu murid-murid tersebut.
“Saya tak ada niat nak diam dan tak ada niat pun simpan semua itu selama ini tapi saya tak mampu nak buat apa-apa untuk mereka (murid-murid),” luahnya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipaksa oleh gurunya untuk menjamah makanan pedas.
Video itu kemudiannya tersebar luas dan mendatangkan marah dalam kalangan netizen yang berang dengan tindakan guru tersebut yang menonyoh makanan secara paksa ke dalam mulut kanak-kanak tersebut.
Sumber: Instagram Caprice