Kumpulan trio KRU tidak pernah terlintas untuk menarik diri daripada menyertai mana-mana acara anugerah.
Menurut anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, dia tidak mahu menghampakan para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
Advertisement
“Contohnya macam ABPH, bila kami tercalon dalam kategori Kumpulan Paling Popular, peminat pasti akan kecewa kalau kami tak sertai.
“Kami kena hormati mereka, sebab kalau kami tarik diri, peminat akan rasa lebih kecewa berbanding kami sendiri,” katanya ketika ditemui Gempak.
Norman berkongsi perkara itu sewaktu sidang media Konsert The Finale: One More Time di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang pada Isnin.
Sementara itu, Edry Abdul Halim turut menambah, mereka sentiasa berpandangan terbuka terhadap pencalonan yang diberikan.
“Rasionalnya kena ada. Kalau kami dicalonkan, kami terima sahaja. Peminat akan marah kalau kami tolak.
“Saya pun banyak berurusan dengan artis yang kecewa bila tak menang. Saya faham, sebab trofi itu sesuatu yang boleh disimpan hingga bersara.
“Tapi bagi saya, tiada apa yang dapat menandingi ‘trofi’ sebenar selain penerimaan peminat. Yang penting, artis terus berkarya,” jelasnya.
Sebelum ini, seorang artis terkenal mengumumkan mahu mengundurkan diri daripada menyertai sebarang program berbentuk anugerah kerana berasakan dirinya sudah cukup dengan pencapaian terdahulu selain mahu memberi ruang kepada orang lain.