Skip to main content

Berita

Enggan Layan Penunggang Tak Pakai Topi Keledar, Pekerja Stesen Minyak Ditembak

Tembak Minyak

Seorang pekerja stesen minyak berdepan detik menakutkan apabila ditembak selepas enggan mengisi minyak dua penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar.

Insiden itu berlaku sekitar jam 5 pagi Sabtu (waktu tempatan) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Nasional Bhind-Gwalior, Lodhi di Madhya Pradesh apabila pekerja terbabit, Tej Narayan Narwaria, 55, menolak permintaan dua lelaki untuk mengisi minyak kerana mereka tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Advertisement

Menurut polis, Narwaria menjelaskan bahawa dia hanya mengikut arahan pihak pentadbiran daerah, namun penjelasan itu mencetuskan kemarahan suspek yang terus melontarkan kata-kata kesat sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan salah seorang suspek melepaskan tembakan menggunakan pistol, manakala seorang lagi menembak dengan senapang, menyebabkan beberapa pekerja lain bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Akibat tembakan itu, Narwaria yang cedera di tangan dikejarkan ke Hospital Daerah Bhind sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Gwalior dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Polis mengesahkan suspek merupakan penduduk kampung Bijpuri di bawah pentadbiran Balai Polis Luar Bandar Bhind.

Difahamkan ketika kejadian, satu acara gusti sedang berlangsung di kampung tersebut dan kedua-dua lelaki berkenaan berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi petrol.

Ketua Balai Polis Barohi, Atul Bhadoria berkata, identiti suspek berjaya dikenal pasti menerusi rakaman CCTV dan operasi memburu mereka kini sedang giat dijalankan.

“Kedua-dua suspek akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya. 


Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video