“Fattah Amin Ni Ada ‘Angin’…” - Alvin Chong Mengaku Pernah Bergaduh Dengan Fattah Amin
Pelakon dan penyanyi Alvin Chong mendedahkan pernah bergaduh dengan Fattah Amin kerana tidak berpuas hati dengan sikap aktor tersebut.
Alvin berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan suami kepada aktres Nur Fazura itu menjalani penggambaran program realiti The House, terbitan Astro Gempak.
“Memang berlaku pergaduhan di antara saya dengan Fattah dalam program tersebut. Kami mula rasa sukar ketika terpaksa tinggal dalam boat house.
“Pergaduhan tercetus apabila masing-masing berebut nak masak, berebut tempat tidur dan ketika Fattah tak mahu menjalankan mission yang diberikan.
“Bila dia tak mahu buat, dia akan suruh saya. Jadi timbullah rasa tidak puas hati di situ. Bagaimanapun satu benda saya belajar selepas tamat program The House ialah saya lebih kenal Fattah selepas itu.
“Fattah memang ada angin dia, tetapi sebenarnya dia seorang yang caring terhadap kawan cuma dia tak tunjuk yang dia sayangkan kawan dia tu,” katanya.
Alvin berkata demikian menerusi segmen #ArtisDudukDiam menerusi IGLive di Instagram Astro Gempak pada petang Ahad.
Alvin dan Fattah pernah bergandingan dalam The House musim keempat yang ditayangkan pada 20 September 2017 sehingga 2 April 2018.
Pelbagai dugaan dan cabaran dilalui dua pelakon ini apabila terpaksa meninggalkan kehidupan di kota raya dan tinggal di kawasan luar bandar.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini Astro Gempak akan mengulang siar siri realiti The House bermula musim pertama hingga yang terbaru untuk mengisi masa lapang anda di rumah.
Tonton The House yang ditayangkan menerusi Gempak Duduk Rumah di portal Astro Gempak!