Chef selebriti, Dato Fazley Yaakob tampil mempertahankan bekas isterinya, Azrene Soraya, selepas wanita itu berkongsi foto tanpa hijab di media sosial baru-baru ini.
Menurut Fazley, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Azrene sudah begitu sejak sebelum mereka berkahwin.
"Saya akan lindung Azreen sampai ke hujung hayat. Bila dia buat keputrusan untuk membuka tudung, itu adalah apa yang orang baru nampak. Dia memang begitu sebelum berkahwin lagi," katanya.
Fazley ditemui pada majlis pelancaran menu terbaharu Flavour Kahwin di Sushi Plus Bangsar South, hari ini.
Pelantun lagu "Asmara" itu berpesan agar masyarakat tidak menilai seseorang hanya berdasarkan penampilan.
"Tak perlu nilai baik buruk sesorang sama ada bertudung atau tak. Bertudung itu pilihan masing-masing. Saya tetap akan sokong apa yang dia buat dan sebelahkan dia."
Tambahnya, sikap bersangka baik lahir daripada niat yang ikhlas.
Ditanya mengenai keterbukaannya menerima pasangan baharu, Fazley mengakui dia tidak pernah meletakkan syarat tertentu.
"Demi kebahagiaan itu kita tidak memilih, tidak kira umur dan tidak kira siapa. Bermakna dia adalah janda atau anak dara. Jodoh itu pilihan Tuhan," jelasnya.
Malah, anak-anaknya turut memberi restu sekiranya dia bertemu jodoh baharu.
"Anak-anak dah healing dengan saya. Mereka cakap jika ada jumpa seseorang, kami ok asalkan gembira. Jadi prinsip anak saya dan saya sama," katanya lagi.
Namun, anak sulungnya, Ahmad Fariedz, berharap wanita pilihan bapanya kelak seiring dengan minat keluarga.
"Anak sulung saya seorang chef dan pemuzik. Dia kata kalau kahwin dengan sesiapa, orang tu perlu minat sport dan muzik. Sebab saya selalu main badminton dan muzik. Takdelah dah kahwin tak boleh main itu ini. Selari dengan minat kami," ujarnya.
Sekadar rekod, Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006, namun berpisah pada Oktober 2024 selepas 18 tahun bersama.
Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata yang kini berada di bawah jagaan bersama.
Dalam perkembangan lain, Fazley bekerjasama dengan Sushi Plus memperkenalkan menu fusion Flavour Kahwin yang menggabungkan cita rasa Malaysia dengan teknik sushi Jepun.
Antara sajian yang diketengahkan ialah Nasi Lemak Sambal Idako, Beef Cili Api Sushi, Pulut Rendang Ayam Sushi dan Nasi Kerabu Unagi Sushi.
Selebriti
Fazley Yaakob Nekad Pertahan Bekas Isteri Tidak Bertudung – "Itu Pilihan Masing-Masing"
