Sekilas
- Kumpulan M-Pop ALPHA mengadakan konsert sulung mereka, 'The First Wave', di Zepp Kuala Lumpur dengan kehadiran peminat dari dalam dan luar negara yang membawa lightstick.
- Konsert menampilkan lagu-lagu popular ALPHA serta kolaborasi bersama artis lain, diiringi sistem bunyi dan pencahayaan yang mantap, sambil peminat menyanyi bersama sepanjang acara.
- Anggota ALPHA meluahkan rasa terharu dan terima kasih kepada peminat ALPHANITES atas sokongan padu yang menjadi sumber kekuatan mereka sepanjang perjalanan seni.
Buat julung kalinya, kumpulan M-Pop, ALPHA menganjurkan konsert sulungnya iaitu Konsert 'The First Wave' yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Penganjuran konsert solo sulung di bawah naungan Rocketfuel Entertainment ini bukan sekadar bukti pengukuhan tapak seni mereka selepas genap setahun bertapak, malah menjadi tanda bahawa fenomena ‘The First Wave’ ini baharu sahaja bermula.
Zepp Diserbu Lautan Lightstick
Seawal pukul 6.00 petang perkarangan Zepp diserbu peminat dari dalam dan luar negara yang masing-masing hadir dengan membawa lightstick di tangan dengan penuh keterujaan bagi menyaksikan sendiri konsert penuh bersejarah kumpulan tersebut.
Tirai persembahan dibuka sekitar pukul 8.00 malam dengan kemunculan barisan alumni Big Stage iaitu Adam Nazmie, Yad-Z, Ranisha, Daniel Kifli dan Danny sebagai pembuka acara.
Dewan persembahan diselubungi limpahan cahaya lightstick yang bertukar warna mengikut irama lagu dan runut bunyi.
Tepat pukul 8.30 malam, gema sorakan peminat memecah ruang apabila tujuh anggota ALPHA iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky melangkah masuk menakluk pentas.
Bermula dari detik itu, ALPHA menghangatkan dewan dengan mendendangkan lagu-lagu popular milik mereka seperti P. Ramlee Saloma, Gelato, Bujang, Tiada Pengganti, Sahabat dan banyak lagi.
Mereka turut membuktikan keupayaan menerusi variasi lagu merentas genre daripada trek Bahasa Inggeris, irama tradisional, sehinggalah lagu nostalgik daripada kumpulan KRU seperti Fiona.
Sistem bunyi yang padu dan penataan cahaya yang kemas mengiringi mutu nyanyian serta tarian penuh bersemangat ALPHA, di samping sorakan peminat yang menyanyi bersama sepanjang acara.
Pentas turut disemarakkan dengan kolaborasi bersama Hussain (Tiada Lagi), Nadeera (Zapin Usik Mengusik), dan Daiyan Trisha (Haru Biru). Selain itu, pratonton eksklusif video muzik Burn It Down dan Mahkota Cinta serta tarian Ray-D bersama Arabella Ellen menerusi lagu P. Ramlee Saloma turut dipersembahkan.
Suasana Bertukar Sayu
Menjelang kemuncak konsert, suasana bertukar sayu apabila para anggota ALPHA tidak dapat menahan air mata di atas pentas kerana terharu dengan sokongan padu peminat.
Ketua kumpulan, Daniel Shuer, meluahkan rasa syukurnya atas perjalanan seni mereka.
"Bukan mudah untuk kami semua sampai ke tahap ini. Tidak semua orang mendapat peluang sebegini. Perkara terbaik adalah kerana kami mempunyai ALPHANITES. Hargailah detik ini.
“Saya rasakan peminat juga merindui detik Big Stage Alpha seperti saya. Dari awal hingga kini, terima kasih banyak kerana mencintai, memanjakan dan menyayangi kami. Kami di ALPHA akan menyimpan anda semua di dalam hati kami selamanya," kata Daniel.
Rizal turut menyifatkan ikatan bersama peminat sebagai sesuatu yang amat bernilai.
"Pertandingan cuma alasan untuk kita dipertemukan. Tanpa rakan-rakan sepasukan, kami tidak akan sampai ke tahap ini. Semangat kami tidak akan menyala seterang ini. Tanpa anda semua, perjalanan kami tidak akan lengkap.
“Anugerah ini adalah untuk semua ALPHANITES. Anda adalah sebahagian daripada perjalanan dan kisah kami. Terima kasih kerana mempercayai kami," ujar Rizal.
Bagi Ariel Fessol, kejayaan malam tersebut adalah hasil perjuangan bersama.
"Buat rakan-rakan yang saya anggap sebagai sahabat, terima kasih kerana berjuang untuk kelangsungan hidup masing-masing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
“Setahun mungkin kelihatan singkat, namun terlalu banyak perkara yang telah berlaku. Kami bermula sebagai tujuh individu yang mempunyai impian, dan hari ini kami berdiri sebagai ALPHA. Ini baharu permulaan," tegas Ariel.
Anggota dari Singapura, Izzat turut menyampaikan penghargaan buat para peminatnya.
"Hanya seorang anak muda dari Singapura. Terima kasih ALPHANITES atas segala sokongan. Wajah-wajah anda akan sentiasa ada dalam hati saya sampai bila-bila. Salam sayang dan salam rindu," katanya.
Ucapan terima kasih berterusan diluahkan oleh Sky, Ray-D dan Araff atas kesetiaan peminat.
"Mungkin lambat atau jauh, tetapi anda semua tidak pernah mengalah. Impian ini akhirnya menjadi kenyataan. Saya pernah bermimpi tentang perkara ini, terima kasih," luah Sky.
"Terima kasih kerana terus memilih untuk mempercayai kami. Saya sayang anda semua,”ujar Ray-D
Araff pula sempat menyampaikan pantun khas: “Malam bulan dipagar bintang, maka indah bila dipandang. Di mana tempat mesti datang, itulah ALPHANITES yang kami sayang”.
Ikatan Kuat ALPHA dan ALPHANITES
Sebagai pelengkap malam bersejarah tersebut, ALPHA membawakan lagu penutup bertajuk "Mona Lisa (Bang Bang)" sebelum langsir pentas ditutup rapat kira-kira pukul 11.00 malam.
Sebagai pelengkap malam bersejarah tersebut, ALPHA membawakan lagu penutup bertajuk Mona Lisa (Bang Bang) sebelum langsir pentas ditutup rapat kira-kira pukul 11.00 malam.
Bagaimanapun, meskipun persembahan telah tamat dan tirai dilabuhkan, para peminat kekal setia di dalam dewan sambil melaungkan sorakan chant nama ALPHA secara berterusan.
Gema suara yang enggan meredup itu menjadi bukti betapa kukuhnya ikatan jiwa antara kumpulan ALPHA dan ALPHANITES.