Sekilas
- Ziana Zain mengakui Aidilfitri tahun ini sangat sunyi dan berat selepas kehilangan kedua ibu bapanya dalam masa empat bulan.
- Dia masih belum mampu membayangkan sambutan raya tanpa mereka dan kini hanya fokus menjaga adik-beradik serta anak-anak.
- Ziana reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana sempat menjaga kedua ibu bapanya sebelum meninggal dunia.
Penyanyi terkenal, Ziana Zain mengakui Aidilfitri tahun ini bakal menjadi hari raya yang paling sunyi dan berat untuk dilalui selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh empat bulan.
Menurut Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 56, pemergian bapanya, Zain @ Zin Abdullah sebelum ini dan diikuti dengan ibunya dalam jarak yang singkat benar-benar meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.
“Kami kena kuat, dalam masa empat bulan abah dah tak ada, mak tak ada. Saya pun tak tahu macam mana nak cakap. Minta Allah kuatkan saya, hati saya.
“Tak tahu lah raya ini ni macam mana. Puasa ni macam mana? Tak boleh nak hadam lagi, nanti lagi kita akan rasa,” ujarnya.
Ziana berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam pada pagi Khamis.
Kata Ziana lagi, fikirannya kini masih kosong dan belum mampu membayangkan suasana sambutan Aidilfitri tanpa insan tersayang.
“Tak boleh nak fikir. Nak mohon maaf pada siapa lagi? Mak ayah dah tak ada. Adik-beradik sahajalah.
“Sudah sampai masa dia kan, kita kena kuat lah. Kita punya masa pun akan sampai juga. Cuma tahun depan tak tahu macam mana nak raya, itu sahaja yang saya boleh cakap. Dalam otak ini kosong.
“Nak fikir beli baju raya pun dah tak fikir. Baju raya dah tak ada. Nothing to look forward dah. Ada pun anak-anak.
“Memang akan ambil masa untuk pulih, empat bulan. Selepas itu mak pula ikut abah. Tapi itu cinta hati dia kan… Sehidup semati,” jelasnya.
Kata Ziana, walaupun sukar untuk menerima hakikat bahawa dirinya kini seorang yatim piatu, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Tak apa kita redha. Alhamdulillah, moga Allah cucuri rahmat ke atas roh dia, tempatkan bersama orang beriman, itu doa saya.
“Dah tak ada mak, tak ada abah, adik-beradik dah yatim piatu. Tak apa, dapat jaga dia masa dia sakit pun dah rahmat.
“Dapat jaga abah masa abah ada pun sama, kami dapat jaga dua-dua orang jadi kita tak ada rasa terkilan. Saya dah buat sehabis baik, alhamdulillah,” ujarnya.
Untuk rekod, Allahyarham Robiah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam kira-kira jam 11 pagi Khamis, disaksikan ahli keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat.