Sekilas
- Black Hanifah menafikan dakwaan menggunakan wang haram untuk membangunkan perniagaan di Langkawi dan menegaskan modal diperoleh hasil titik peluh sebagai penyanyi sejak 2009.
- Dia juga menepis dakwaan memperlahankan kerjaya seni kerana fokus pada perniagaan, dengan jadual persembahan penuh hingga hujung tahun ini.
- Black kini memiliki beberapa perniagaan di Langkawi termasuk villa, perkhidmatan kapal layar mewah dan kafe, yang mula diceburi sejak empat tahun lalu dan mendapat sambutan baik.
Penyanyi, Black Hanifah menafikan dakwaan kononnya dia menggunakan wang daripada sumber meragukan untuk membangunkan perniagaan yang kini diusahakannya di Langkawi, Kedah.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, segala modal yang digunakan bagi memulakan perniagaannya merupakan hasil titik peluhny sebagai seorang penyanyi sejak 2009.
“Dulu orang cakap saya cuci duit. Sebenarnya 100 peratus apa yang saya ada di Langkawi, bisnes saya itu ialah daripada hasil saya menyanyi daripada tahun 2009 sampai sekarang.
“Bukan tiba-tiba saya ada duit, tiba-tiba saya boleh buat villa dan sebagainya, bukan. Menyanyi masih menjadi punca pendapatan utama saya, Alhamdulillah.
“Tanpa keluar di TV, sebenarnya saya banyak event-event, private event yang saya dapat jemputan. Cuma kalau orang nak tahu, kena ikut saya punya media sosial,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, pelantun lagu Terlerai Sudah ini turut menepis dakwaan kononnya dia semakin memperlahankan kerjaya seni kerana mahu memberikan tumpuan kepada perniagaan tersebut.
Perjelas Black, persepsi itu mungkin timbul kerana dia kini kurang berkongsi perkembangan seninya menerusi media sosial.
“Kalau dua tahun ini kurang nampak saya tidak lagi menyanyi, sebenarnya persepsi itu tidak benar.
“Mungkin kerana saya banyak berkongsi tentang bisnes di media sosial. Dalam masa sama, saya juga ada menjadi duta bagi jenama produk. Perkara itu mungkin ramai yang terlepas pandang.
“Insya-Allah saya masih lagi ada dalam industri untuk mewarnai industri muzik tanah air tempatan,” katanya.
Malah, Black memaklumkan jadual persembahannya sudah penuh sehingga penghujung tahun ini, sekali gus menutup dakwaan dirinya berehat daripada bidang nyanyian.
“Setiap minggu masih dapat panggilan job ataupun show, Alhamdulillah sampai hujung tahun jadual dah ada.
“Saya masih lagi berusaha untuk menempa nama di dalam industri. Bukan saya rehat. Tak pernah sekali saya fikir saya nak rehat sebab kalau tak, kenapa saya keluarkan lagi lagu Telerai Sudah ini
“Cuma mungkin saya jarang keluar TV sekarang disebabkan agak sibuk dengan bisnes dan perkara lain”, tambahnya.
Untuk rekod, Black kini memiliki beberapa perniagaan di Langkawi termasuk villa, perkhidmatan kapal layar mewah dan sebuah kafe.
Penyanyi itu mula menceburi bidang perniagaan di pulau berkenaan sejak empat tahun lalu dan usahanya mendapat sambutan ramai.