Sekilas
- Filem Sayang Sayang menampilkan gabungan muzik tradisional Melayu, Dikir Barat, Cina dan India dengan sentuhan muzik fusion yang unik.
- Elemen muzik dan tarian tradisional dalam filem ini menghidupkan babak penting serta menonjolkan kepelbagaian budaya.
- Filem ini mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu yang mencari identiti dan impian mereka, dan akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober sebelum ke pawagam Malaysia pada 5 November.
Keunikan filem Sayang Sayang bukan hanya terletak pada jalan ceritanya, malah turut terserlah menerusi elemen muzik yang menggabungkan keunikan irama tradisional daripada pelbagai budaya.
Menampilkan gabungan instrumen muzik tradisional Melayu, Dikir Barat, muzik Cina dan India menerusi seni persembahan Urumi Melam, filem ini membawa satu kelainan dengan sentuhan muzik fusion yang cukup menarik.
Bukan itu sahaja, gabungan muzik ini bukan sekadar menjadi halwa telinga menerusi muzik latar (background score), malah turut menghidupkan beberapa babak penting dalam filem, termasuk babak pengakhiran yang menjadi antara momen istimewa.
Selain keunikan muzik, elemen tarian tradisional turut menjadi tarikan dalam filem ini, sekali gus menampilkan keindahan kepelbagaian budaya menerusi sebuah karya sinematik.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza iaitu Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, mengejar impian serta mencari tempat mereka dalam kehidupan.
Filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Jo Kukathas, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Vemanna Appannah, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November depan.