Sekilas
- Da’i Syed dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019 melalui keputusan majoriti 2-1.
- Keputusan ini mencetuskan reaksi netizen yang menggesa agar gelaran 'Da’i' yang disandangnya ditarik balik kerana kes tersebut melibatkan dakwaan serius dan pengakuan persetubuhan.
- Kes ini bermula dengan pertuduhan pada 2019, hukuman penjara dan sebatan dijatuhkan pada 2024, namun Da’i Syed dibebaskan sementara menunggu rayuan utama.
Pada Rabu, pendakwah selebriti iaitu Da’i Syed dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Keputusan itu dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid. Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid berbeza pendapat dan menentang keputusan tersebut.
Susulan keputusan ini, rata-rata netizen tampil menyuarakan pendapat agar gelaran Da’i yang diterimanya ditarik semula memandangkan pemilik nama Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful ini terpalit dengan kes dakwaan rogol.
Menurut seorang individu, adalah wajar untuk gelaran tersebut ditarik balik kerana Da’i Syed juga telah membuat pengakuan berlakunya persetubuhan dengan mangsa.
“Dia dah mengaku berzina, boleh media buang gelaran islamik itu. Dah tak relevan, dah jadi sejarah patutnya,’ kongsinya.
Perkongsian itu kemudiannya meraih perhatian ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa setuju dengan pendapat individu berkenaan.
“Buang gelaran Da’i dia tu please.
“Boleh ‘remove’ kot gelaran (Da’i) kat depan itu, merosakkan imej agama.
“Berhenti panggil dan gelar dia dengan gelaran dia itu. Gelaran itu terlalu suci tidak layak kerana dah merosakkan maruah seorang wanita,” antara komen netizen.
Pada 10 Disember 2020, Dai Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Dai Syed selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Dai Syed untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Dai Syed. Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara pada hari sama.
Selepas menjalani hukuman selama 21 hari di Penjara Kajang, Dai Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu pendengaran rayuan utamanya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.
Sumber: Threads