Berita
Gara-Gara Lawak Sinis, Keluarga Mad Sabah Diugut Bunuh
Naib Juara Lawak Solo, Mad Sabah mengakui menerima ugutan di media sosial kerana lawak sinis yang dipersembahkannya.
Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 29, berkata, ada pihak yang menghantar ugutan untuk menyimen seluruh ahli keluarganya jika dia masih meneruskan lawak-lawak sinis dan menyindir.
“Saya menerima ugutan tersebut menerusi inbox di akaun Facebook (FB) tetapi saya tidak mengambil sebarang tindakan.
“Bukan tidak memandang serius, tetapi saya tidak mahu memanjangkan cerita kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, saya Cuma berlawak.
"Lagipun di media sosial, semua orang suka menulis apa sahaja tanpa berfikir,” katanya.
Mad Sabah ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.
Mad bakal berada di pentas MLM 2017 sebagai peserta solo bersama Danial dan Dzawin dari Indonesia.
Antara kumpulan pelawak yang bakal berentap dalam MLM 2017 ialah Joras yang dianggotai oleh Shuk (SYJ), Rahim (R2) dan Joey (Jalor), Xoxo (Wan, Wan Gegau dan Chot), Nice (Ropie, Achong dan Tauke), Zero (Atu,Shariff dan Syaiful) dan Mamu (Ajo dan Abu).
Selain itu Shiro (Sharol dan Ajak), Pistol (Ag Hafiz dan Raja Azri), Puteh (Mamak dan Ali) dan Bocey (Abam, Fad dan Achey) juga bakal memberikan saingan untuk merebut gelaran juara dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM500,000.
Menariknya, MLM 2016 turut disertai kumpulan pelawak dari Indonesia, Abioso yang dianggotai Amin, Sarip dan Mamad.
Sementara itu, kumpulan Masin yang dianggotai Mamat, Vicha dan Jiggy serta Hobit diwakili Amir, Bocil dan Din adalah peserta gabungan dari Malaysia dan Indonesia.
MLM 2017 bakal bersiaran selama 12 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 17 Februari ini dan disiarkan secara langsung dari Royal Theater Shah Alam, menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi