Sekilas
- Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Pulau Flores, Indonesia, menyebabkan kerosakan pada hospital, bangunan kerajaan, sekolah, pelabuhan dan rumah penduduk.
- Beberapa kawasan utama seperti Labuan Bajo, Ruteng, Mbay dan Sikka mengalami gangguan bekalan elektrik serta kerosakan struktur.
- Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami dan menggesa penduduk pesisir untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi serta menangguhkan perjalanan ke pulau tersebut buat sementara waktu.
Pulau Flores di Indonesia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat pada pagi Sabtu yang berukuran 7.7 magnitud.
Menerusi perkongsian di Threads oleh orang awam, beberapa bangunan dilaporkan mengalami kerosakan, termasuk hospital, bangunan kerajaan, sekolah, pelabuhan dan rumah penduduk.
Kerosakan turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan utama seperti Labuan Bajo, Ruteng, Mbay dan Sikka.
Dalam pada itu, bekalan elektrik dilaporkan terputus di beberapa kawasan sepanjang Flores susulan kejadian tersebut.
Orang ramai yang merancang untuk bercuti ke pulau tersebut turut dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu.
Penduduk dan orang ramai juga diminta supaya sentiasa berhati-hati serta mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa.
Untuk info, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) turut mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa itu.
Difahamkan pihak berkuasa Indonesia juga menggesa penduduk di kawasan pesisir Pulau Flores supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas gempa bumi kuat 7.7 magnitud tersebut berlaku.