Industri hiburan tanah air terus bergerak ke hadapan dengan pelbagai kejutan, wajah baharu dan nama besar yang dijangka mencuri tumpuan pada tahun hadapan.
Daripada kisah cinta selebriti, kemunculan pelapis muda, sehinggalah konsert dan filem yang dinanti-nantikan, inilah senarai ramalan yang berpotensi mencetuskan fenomena dan menjadi bualan ramai.
1. Nora Danish x Mickey Ayo / Bella Astillah x Syed Saddiq

Pelakon, Nora Danish kembali mencuri perhatian ramai apabila didakwa sedang hangat bercinta dengan seorang duda berstatus bapa kepada dua cahaya mata, Mickey Ayo.
Dalam masa sama, hubungan pelakon Bella Astillah dan Syed Saddiq turut menjadi bualan hangat apabila dikatakan semakin rapat.
Rata-rata netizen dilihat merestui kedua-dua hubungan ini malah tidak mustahil jika pasangan-pasangan ini bakal melangkah ke alam perkahwinan pada tahun hadapan.
2. Arabella Ellen, Nylea & Tracie Sinidol

Beberapa nama baharu mula menghiasi kaca televisyen dan dijangka bersinar pada tahun hadapan, antaranya Arabella Ellen, Nylea dan Tracie Sinidol.
Bakat lakonan yang segar, kreatif serta mudah diterima penonton menjadikan mereka antara pelapis muda yang berpotensi besar dalam industri hiburan tanah air.
3. Zarif Ghazzi x Badron Munirah

Dua pelakon kacak yang semakin meningkat naik, Zarif Ghazzi dan Badron Munirah dijangka bakal menjadi pujaan peminat.
Siapa sangka, kedua-duanya berpotensi memberi saingan baharu kepada barisan pelakon lelaki popular lain seperti Amir Ahnaf, Hun Haqeem dan ramai lagi.
4. Siti Nurhaliza x Ella

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mengadakan Konsert Legacy 30 Siti Nuhaliza sempena 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni pada tahun hadapan.
Tidak mustahil juga penyanyi ikonik ini bakal mengumumkan konsert berkonsep tradisional yang dinanti-nantikan peminat.
Dalam masa sama, peminat muzik rock turut menaruh harapan tinggi terhadap Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, yang dijangka menggegarkan industri muzik tempatan.
5. Wani Kayrie X Mimi Fly

Pernah tercalon sebagai Penyanyi Wanita Popular, Wani Kayrie dilihat berpotensi merampas gelaran tersebut pada tahun 2026.
Malah, dia dijangka bakal tampil dengan kolaborasi bersama nama-nama besar muzik tradisional seperti Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, M. Nasir dan lain-lain.
Sementara itu, Mimi Fly pula terus mengekalkan momentum sebagai artis versatil yang berani bereksperimen dengan muzik dan imej tersendiri.
6. Alpha

Selepas kejayaan lagu Mona Lisa serta P. Ramlee & Saloma, kumpulan Alpha dijangka bakal memberi saingan sengit kepada kumpulan muzik lain di Malaysia.
Populariti mereka yang semakin melonjak berpotensi melayakkan Alpha untuk tersenarai dalam anugerah hiburan utama pada tahun hadapan.
7. Umairah x Oddah

Muncul sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada usia 14 tahun, Umairah berjaya mencipta sejarah tersendiri dan memecah rekod ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bakat luar biasa ini dijangka terus menyinar pada tahun hadapan.
Seorang lagi penyanyi cilik, Oddah, yang melonjak naik menerusi program realiti Talk To My Manager, terus mencuri perhatian. Keupayaan vokal serta perwatakannya yang mencuit hati berpotensi membuka laluan bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah lakonan juga.
8. Filem-Filem Aksi

Dengan reputasi pengarah Chiu Keng Guan yang pernah meraih kejayaan di FIA Asia Pacific Rally Championship 2001, filem aksi Terbang dijangka meninggalkan kesan mendalam buat penonton.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Zizan Razak, Diana Danielle dan ramai lagi.
Tidak ketinggalan, filem aksi seram Mikael: Pemburu Dua Alam pula dijangka menghantui pawagam, dengan lakonan Remy Ishak yang diramal mencetuskan fenomena pada tahun hadapan.