Berita
GGV: Pakai Keranda Yang Baru Digunakan, Hijjaz Bau Kapur Barus
Kumpulan Hijjaz mendedahkan props keranda yang digunakan sewaktu menyampaikan lagu Selimut Putih di minggu ketiga Gema Gegar Vaganza (GGV) merupakan keranda sebenar yang digunakan untuk pengurusan jenazah.
"Sewaktu sesi latihan, kami hanya menggunakan kotak sebagai props. Namun begitu, tenaga produksi berjaya mendapatkan keranda sebenar untuk digunakan semasa persembahan kami di minggu ketiga GGV.
"Keranda itu masih lagi mempunyai bau kapur barus kerana keranda itu baru sahaja digunakan untuk menguruskan jenazah di siang hari.
"Tenaga produksi berjaya membawa keranda tersebut ke dewan persembahan beberapa jam sebelum GGV berlangsung," kata Ariffin mewakili Hijjaz.
Turut dianggotai oleh Munif, Isman dan Faizal, persembahan Hijjaz pada malam tersebut memikat hati juri yang meletakkan mereka di tangga pertama di konsert minggu ketiga GGV.
Hijjaz juga turut dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori irama terkesan atas persembahan mereka yang memukau.
"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur. Setiap minggu kami cuba memberikan yang terbaik. Apabila diberikan tugasan, kami tidak memandang ringan perkara tersebut.
"Kami duduk berbincang dan tidak mengambil mudah walaupun ada yang berkata lagu Selimut Putih 'makanan' kami. Konsep persembahan tersebut datang selepas kami memerah idea," kata Isman pula.
Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).
Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.
Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
Teks oleh: Kamaruddin Razal