Sekilas
- Nadeera Zaini mengakui tekanan untuk kekal relevan dalam industri seni membuatkan dia stres dan mengambil masa untuk mencari karya yang berkualiti.
- Dia banyak belajar dari Hael Husaini tetapi tetap terbuka untuk bekerjasama dengan komposer lain demi perkembangan kerjaya.
- Nadeera juga berkongsi bahawa selebriti sering menerima kritikan yang menyakitkan, namun dia terus fokus menghasilkan karya untuk menggembirakan peminat.
Penyanyi, Nadeera Zaini mengakui desakan untuk sentiasa kekal relevan dalam industri seni sememangnya memberikan tekanan terhadap dirinya.
Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 33, berkata mencipta nama dalam industri mempunyai cabaran tersendiri, maka mengekalkan nama juga bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, Nadeera tetap memilih pendekatan dalam menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti dan tidak mahu usahanya menjadi sia-sia.
“Mestilah ada tekanan. Saya sebenarnya sedikit stres apabila terlalu memikirkan perkara seperti ini. Hendak mencipta nama sudah satu perkara yang susah, mahu kekal relevan pun susah.
“Saya memang agak tertekan memikirkan bagaimana mahu mengekalkan nama sendiri dan pada masa sama mencari karya serta komposer yang sesuai. Saya akui apabila peminat memang kata saya lambat. Tidak mengapa, memang saya lambat pun.
“Tapi saya sedang mencari karya yang betul-betul mahu diberikan kepada mereka. Saya tidak mahu keluarkan sesuatu dengan sia-sia,” katanya kepada Gempak.
Nadeera berkata demikian ketika ditemui pada sidang media lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 di Marriott Hotel, Petaling Jaya pada Khamis.
Mengulas mengenai kebergantungannya terhadap penyanyi dan komposer, Hael Husaini, Nadeera berkata Hael banyak mengajarnya tentang industri, namun dia masih terbuka untuk bekerjasama dengan komposer lain.
“Ramai di luar sana cakap saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini. Tapi hanya saya dan dia tahu bahawa dia banyak mengajar saya.
“Sudah tentu saya juga mahu bekerjasama dengan komposer-komposer lain. Saya memang terbuka untuk berbuat demikian.
“Saya sudah jumpa beberapa komposer lain. Dia pula bukanlah melepaskan saya begitu sahaja. Kadang-kadang saya masih minta pendapat dia. Dia pun galakkan saya teruskan apa yang saya buat sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Cuba Jadi Aku itu turut tidak menafikan bahawa golongan selebriti antara golongan yang tersakiti kerana sentiasa menerima kritikan dan kecaman daripada orang ramai.
“Orang cakap golongan yang paling tersakiti adalah golongan selebriti sebab merekalah yang selalu kena kecam. Kita selalu cakap kita kuat dan memang kita perlu kuat.
“Tapi saya pun manusia, saya rapuh dan ada hati. Kadang-kadang saya menangis. Kadang-kadang saya buat-buat tidak dengar semua itu, tidak mahu dengar atau ambil tahu sebab kita cuma mahu buat kerja yang kita suka.
“Saya menyanyi bukan semata-mata untuk diri sendiri. Saya mahu berikan sesuatu kepada orang yang mendengar dan cuba buat orang lain gembira juga,” kongsinya.