Sekilas
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Tun Dr Hasmah sebagai kehilangan seorang ibu yang penuh kasih sayang kepada Malaysia.
- Anwar berkongsi bahawa nasihat, ingatan, dan senyuman Tun Dr Hasmah akan terus hidup dalam ingatannya.
- Tun Dr Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan dikebumikan di Pusara Negarawan, Putrajaya pada hari yang sama.
Pemergian isteri kepada Tun Dr Mahathir iaitu Tun Dr Hasmah sememangnya memberikan kesan buat semua rakyat Malaysia, termasuklah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di Threads, Anwar menyifatkan kehilangan Dr Hasmah ibarat seperti Malaysia kehilangan seorang ibu yang sarat dengan kasih sayang dan cinta.
Malah, setiap nasihat, ingatan dan senyuman yang terukir di wajah ikon kemanusiaan dan kesihatan awam itu sentiasa terpahat di dalam ingatannya.
“Kita kehilangan seorang ibu kasihnya menyentuh setiap jiwa. Budi, pesan dan senyuman Kak Hasmah akan terus hidup dalam ingatan.
“Selamat berehat di negeri abadi, Kak Hasmah. Al-Fatihah,”tulisnya.
Dalam hantaran sama, Anwar turut memuat naik video dirinya memberikan penghormatan terakhir buat Tun Dr Hasmah.
Pada Isnin, Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 9.20 pagi.
Jenazah Allahyarhamah kemudiannya selamat disemadikan di Pusara Negarawan, Presint 20, Putrajaya kira-kira jam 6 petang hari yang sama.