Berita
GV 3: Azharina Menangis Apabila Ibu Tunggal Sanggup Naik Bas Bertemunya
Penyanyi dan juga peserta GegarVaganza 3 (GV3) Azharina menangis apabila peminat dari Perak sanggup menaiki bas semata-mata untuk memberi sokongan kepadanya.
Menerusi video yang dimuatnaik Azharina di laman Instagramnya pada Jumaat, dia begitu terharu dan terkejut apabila peminat yang dikenali sebagai Puan Atie sanggup menaja kelab peminatnya.
Hati Azharina juga semakin tersentuh sebaik sahaja mengetahui peminat yang dikenali sebagai puan Atie itu merupakan seorang ibu tunggal.
“Assalamualikum puan Atie, hati saya tersentuh dengan puan kerana puan adalah seorang ibu tunggal yang mencari rezeki untuk memperbaiki keadaan ekonomi keluarga.
“Sanggup datang dari jauh sampai naik bas untuk beri sokongan pada saya dalam GV3. Saya seorang ibu tunggal, saya tahu bagaimana susahnya kehidupan kita untuk melalui kehidupan seorang diri.
“Difitnah, dicaci dan dihina, melalui pelbagai kesusahan untuk memperbaiki kekurangan diri dan mencari nafkah untuk anak.
“Atas pengorbanan itu saya doakan anak-anak puan Atie berjaya dalam kehidupan,” katanya sebak.
Dalam pada itu, pemilik nama Azharina Azhar ini juga menafikan tangisannya itu hanya sekadar drama.
“Ikhlas saya menangis bukan untuk drama, saya bukan seorang pelakon tetapi hanyalah hamba Allah yang mempunyai hati dan juga perasaan,” jelasnya.
Azharina juga mengucapkan terima kasih dengan sepenuh hati kepada peminat berkenaan.
Jangan lupa saksikan konsert GV3 yang bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 16 Oktober ini, jam 9.00 malam.
Siaran langsung GV3 juga boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).