Penyanyi, Hafiz Suip berkongsi perasaan terharu apabila menerima kejutan daripada ibu dan ayahnya semasa membuat persembahan di konsert sulungnya, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip, malam semalam.
Hafiz atau nama lengkapnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip berkata dia tidak menjangkakan bakal menerima kejutan itu dan menggangap ia adalah momen paling berharga buatnya.
Advertisement
"Sejujurnya memang saya yang bawa mak saya dari Kuching ke Kuala Lumpur, tetapi saya tak jangka mak saya turut naik ke atas pentas juga. Saya terharu orang yang saya sayang datang melihat persembahan saya dan ia merupakan momen paling bermakna buat saya," katanya ketika ditemui Gempak.
Hafiz ditemui ketika mengadakan konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip di Plaza Sungai Wang pada Sabtu.
Sementara itu, Hafiz turut mendedahkan bahawa dia terlalu gementar sehingga keluar dari pentas ketika sesi interaksi bersama penyanyi, Umairah selepas persembahan duet.
"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar walaupun saya sedikit gugup tadi sebab turun dari pentas. Saya turun sebab nak hilangkan rasa gementar. Tapi bila saya naik semula semangat itu terus hadir semula," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz turut memecahkan rekod peribadi apabila menganjurkan konsert yang dihadiri lebih 3,500 peminat.
Antara lagu yang dibawa ialah Bahagiamu Deritaku, Awan Nano, Ombak Rindu, Ku Akui, Matahari dan lain-lain.
Malam itu juga menyaksikan kejutan istimewa apabila Hafiz membuat duet penuh
emosi bersama Pengarah Urusan SAH Entertainment yang juga Juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid.
Konsert ini turut menampilkan dua artis jemputan istimewa, Adira dan Umai, yang
menambahkan seri dan kemeriahan malam tersebut.
Sepanjang 16 tahun bergelar anak seni, Hafiz turut menyifatkan pengalaman pada malam itu sebagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan.
“Saya amat terharu dengan sokongan peminat. Setiap sorakan, tepukan, dan
nyanyian mereka memberikan saya tenaga luar biasa.
"Malam ini benar-benar menjadi salah satu detik paling bermakna dalam kerjaya
saya,” jelasnya.