Sekilas
- Konsert Malam 3 Suara menampilkan tiga penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito, akan berlangsung pada 14 Disember di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
- Persiapan konsert kini mencapai 70-80 peratus dengan latihan intensif bagi memastikan persembahan yang terbaik dan kolaborasi istimewa.
- Konsert ini akan menampilkan lebih 20 lagu hit dalam segmen solo, duet dan kolaborasi khas yang hanya boleh disaksikan pada malam tersebut.
Konsert Malam 3 Suara yang bakal menampilkan tiga penyanyi terkenal Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito kini berada dalam fasa persiapan menjelang penganjuran bulan hadapan.
Pelantun lagu Rumah Singgah, Fabio memaklumkan persiapan mereka setakat ini telah mencapai 70 hingga 80 peratus dan semuanya sedang giat berlatih bagi memastikan persembahan yang terbaik buat para peminat.
"Saya sangat gembira kerana akan membuat persembahan dan kolabrasi bersama rakan-rakan. Kami telah mengadakan mesyuarat beberapa kali dan mempersiapkan diri dengan latihan. Konsert kali ini sangat berbeza dan istimewa dari sebelum-belumnya," katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Anggi turut mengakui berdebar menjelang persembahan tersebut, namun tetap teruja melihat perkembangan persiapan mereka.
"Saya sungguh gementar dan berdebar memikirkan bagaimana hasil akhir kolabrasi kami bertiga dan kami pun kini sedang dalam persiapan menyusun arrangement lagu-lagu yang pernah dibawa," ujarnya.
Rizky Febian yang popular dengan lagu Alamak pula, menyifatkan konsert kali ini sebagai percubaan terbaharu mereka menggabungkan tenaga kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih istimewa.
"Ini kali pertama kami menggabungkan pengarah muzik kami untuk menghasilkan konsep yang luar biasa," jelasnya.
Ditanya mengenai pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi, Rizky turut menjelaskan bahawa konsep konsert dan sambutan peminat di Malaysia menjadi antara faktor utama.
"Kami pilih ke Malaysia kerana tertarik dengan konsep yang dibawakan. Kami dimaklumkan sambutan di Kuala Lumpur amat menggalakkan dan mereka sangat teruja dan suka dengan penganjuran konsert. Disebabkan ramai peminat kami berasal dari Kuala Lumpur, kami akhirnya mencari idea untuk menggabungkan para peminat," katanya lagi.
Tiga bintang popular dari Indonesia, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito bakal bergabung dalam sebuah konsert eksklusif berjudul Malam 3 Suara pada 14 Disember depan di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dibawakan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. itu menjanjikan lebih dua jam persembahan penuh emosi, menyatukan tiga penyanyi dengan keunikan vokal dan karakter tersendiri.
Penonton bakal dihiburkan dengan lebih 20 lagu hit termasuk segmen solo, duet dan kolaborasi khas yang hanya boleh disaksikan pada malam tersebut.