Sekilas
- Rakyat Malaysia yang bercuti di Hatyai terkandas di hotel akibat banjir susulan hujan lebat yang berterusan.
- Mereka terpaksa mencatu makanan terutama yang membawa bayi dan kanak-kanak kerana keadaan air yang semakin naik.
- Beberapa pengguna media sosial berkongsi pengalaman dan memohon doa agar mereka selamat di tengah situasi banjir di kawasan tersebut.
Beberapa rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hatyai, Thailand dilaporkan terkandas selepas hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan tersebut dilanda banjir kilat.
Seorang pengguna Thread, Nabilah Norhisham, memaklumkan bahawa dia dan keluarganya tidak dapat keluar dari hotel akibat paras air yang semakin meningkat.
“Korang yang nak pergi Hatyai tolong batalkan dulu. Keluarga aku terkandas kat hotel. Mana-mana semua air dah naik.
"Sis mengenangkan kena catu makanan kat hotel. Ada bawa bayi dan budak kecil, jadi duduk diam-diam jela sampai surut,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Atiqah Syazwani, turut berkongsi keadaan terkini kawasan penginapannya yang turut dinaiki air.
“Hatyai hujan tak berhenti kelmarin seharian hingga Jumaat. Hari ni kawasan hotel semua dah naik air. Dengar cerita area jalan utama air dah makin tinggi. Doakan kami satu keluarga semua selamat. Risau sebab dekat tempat orang,” ujarnya.

Selain itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Minz Hj Nezam, memuat naik suasana banjir sekitar jam 4 pagi waktu tempatan.
“Semoga dipermudahkan urusan kami, 4 pagi waktu Hatyai banjir,” katanya.



Setakat ini, hujan berterusan dilaporkan masih berlaku di beberapa kawasan di Hatyai, sekali gus menjejaskan pergerakan pelancong termasuk warga Malaysia yang berada di sana.