Berita
Hilang 20 Kilogram Berat Badan, Ako Mustapha Kini Tampil Berbeza
Pelakon Ako Mustapha mengakui berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 20 kilogram sejak dua tahun lalu.
Menurut Ako, perubahan fizikalnya begitu ketara disebabkan hasil ketegasan isterinya, Kartina Abdullah yang mahu dia mengamalkan gaya hidup sihat.
"Sebelum ini berat saya adalah 90 kilogram dan saya berjaya kurangkan sebanyak 20 kilogram hasil semangat yang diberikan oleh isteri.
"Perubahan berat saya bukan menurun secara mendadak sebaliknya mengambil masa selama 2 tahun.
"Ini semua merupakan hasil ketegasan isteri saya yang mahu saya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan setiap hari.
"Dia akan memaksa saya untuk bersenam dan pantau apa sahaja yang dimakan oleh saya," katanya kepada Astro Gempak.
Ako berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Super Spontan Xtravaganza (SSX), di Hotel Putrajaya Marriott, baru-baru ini.
SSX bakal bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat bermila 20 Julai, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.
Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.
Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.
SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram
Must-Watch Video