Skip to main content

Konsert

Hormati Waktu Isyak & Venue Enggan Kompromi, Penganjur Konsert RadjaWali Tampil Jawab Isu 'Blackout' - "Kami Telah Dapat Persetujuan Tapi Mereka Matikan PA Sistem"

Fasha sandha

Penganjur Konsert Pentas RadjaWali iaitu Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) tampil menjelaskan situasi sebenar disebalik insiden kekecohan yang berlaku malam tadi.

Wakil penganjur berkata keputusan untuk melewatkan permulaan acara diambil demi menghormati waktu solat Isyak, memandangkan lokasi konsert dikelilingi kawasan kediaman dan masjid.

"Kami tidak mahu memulakan konsert ketika azan sedang berkumandang atau ketika jemaah sedang bersolat. Waktu Isyak masuk sekitar jam 8:30 malam dan selesai solat kira-kira 8:40 malam.

"Atas sebab itu, kami mengambil keputusan memulakan acara pada jam 8:50 malam. Ia bukan kelewatan yang disengajakan, tetapi satu bentuk penghormatan kepada sensitiviti agama dan masyarakat setempat," katanya.

Menyentuh mengenai insiden sistem bunyi (sound system) dimatikan secara tiba-tiba, dia berkata, mereka telah berusaha berunding dengan pihak pemilik premis, Idea Live Arena dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi untuk memberi peluang Wali Band menyampaikan lagu terakhir buat peminat.

"Kami mengakui permit hiburan indoor sah sehingga jam 1 pagi, manakala permit venue hanya sah sehingga jam 12:00 tengah malam, tetapi persembahan boleh dilanjutkan atas persepakatan bersama.

"Jadi, kami telah memohon kelonggaran masa sehingga 12:30 tengah malam bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna.

"Malah kami sedia menanggung segala risiko dan memberitahu pihak venue bahawa kami sanggup kehilangan deposit RM20,000 atau didenda, asalkan peminat berpuas hati dan konsert dapat ditamatkan dengan baik. Keutamaan kami adalah kepuasan peminat, bukan wang ringgit.

"Bagaimanapun pihak pengurusan Idea Live Arena enggan bertolak ansur dan meminta surat kebenaran bertulis beserta cop rasmi MBPJ pada waktu kejadian.

"Ia satu permintaan yang mustahil dipenuhi pada tengah malam begini. Namun kami terus berbincang untuk memberi peluang kepada Wali Band menyampaikan lagu terakhir sebelum menutup pentas," ujarnya.

Menurutnya, mereka berjaya mencapai satu persetujuan lisan bersama wakil venue pada jam 11:55 malam untuk membenarkan 'satu lagu terakhir' (last song) didendangkan sebelum acara ditutup.

"Kami sudah mendapat persetujuan wakil venue untuk satu lagu terakhir. Saya sendiri naik ke pentas untuk memaklumkan kepada vokalis Wali Band agar mengumumkan lagu seterusnya adalah lagu terakhir dan membuat penutup.

"Malangnya, sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan tamat, pihak venue terus mematikan sistem bunyi (PA system) tanpa membenarkan artis membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton.

" Tindakan inilah yang menyebabkan kekeliruan dan kemarahan peminat. Kami memohon maaf kepada semua peminat yang hadir atas insiden yang tidak diingini itu.

"Namun kami telah melakukan segala usaha termampu untuk menyelamatkan keadaan, tetapi tersekat akibat ketegasan pihak venue yang enggan berkompromi," katanya yang menyifatkan tindakan ini sebagai "tiada hati perut.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement