Sekilas
- Hujan lebat di Taman Melawati petang ini menyebabkan banjir kilat yang mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang 3 kilometer di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
- Kesesakan berlaku dari Zoo Negara menuju ke KL East Mall berikutan banjir kilat berhampiran kawasan Taman Melawati.
- Video yang dikongsikan pengguna Threads menunjukkan beberapa kenderaan terkandas akibat air banjir di persimpangan berhampiran sekolah di Taman Melawati.
Hujan lebat yang melanda Taman Melawati petang ini mengakibatkan banjir kilat sehingga menyebabkan aliran trafik di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sesak sepanjang kira-kira tiga kilometer.
Menurut kemas kini Astro Radio Trafik pada jam 4.35 petang, kesesakan dilaporkan berlaku dari Zoo Negara menuju ke KL East Mall susulan banjir kilat yang berlaku berhampiran kawasan Taman Melawati.
“MRR2: Terdapat kesesakan 3km (kilometer) dari Zoo Negara ke KL East Mall susulan banjir kilat dilaporkan berdekatan Taman Melawati,” menurut laporan berkenaan.
Keadaan banjir berkenaan turut dikongsikan seorang pengguna Threads, Redzall menerusi satu video yang menunjukkan situasi di sebuah persimpangan berhampiran sekolah di Taman Melawati.
Berdasarkan rakaman tersebut, beberapa kenderaan dilihat terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan dipercayai akibat dinaiki air di kawasan berkenaan.
Sumber: Kosmo