Sekilas
- Seorang wanita dan bayi perempuan berusia 10 bulan parah selepas kereta mereka terbabas dan terbalik akibat tayar pecah di Jalan Kluang-Batu Pahat berhampiran UTHM.
- Bayi dirawat di zon merah manakala ibu dan pemandu mengalami kecederaan di zon kuning di Hospital Sultanah Nora Ismail.
- Video kemalangan tular menunjukkan api berhampiran kenderaan dan orang ramai membantu memadam serta menyelamatkan mangsa.
Seorang wanita dan bayi perempuan berusia 10 bulan parah selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik akibat tayar pecah di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat, hadapan kampus Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata, nahas berlaku pada jam 2.40 pagi dengan bayi perempuan itu dirawat di zon merah Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Shahrulanuar berkata, siasatan awal mendapati, kereta terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, isterinya adalah penumpang iaitu wanita berusia 41 tahun.
"Kemalangan berlaku apabila tayar kereta mereka dinaiki pecah lalu terbabas dan terbalik. Lelaki terbabit cedera di tangan kiri manakala isterinya cedera di kepala dan kedua-duanya dirawat di zon kuning hospital sama," katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu dua rakaman video kemalangan itu tular yang mana jelas kedengaran suara seorang kanak-kanak menangis.
Menerusi video terbabit, kelihatan api berdekatan kenderaan dinaiki tiga beranak itu sebelum orang ramai membantu memadamkannya.
Beberapa pengguna jalan raya juga dilihat bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa dengan kereta dalam keadaan remuk.
Sumber: Harian Metro