Sekilas
- Pija Yasin menasihatkan wanita, terutama ibu tunggal, supaya bekerja keras dan sentiasa percaya pada rezeki dari Tuhan.
- Dia berkongsi pengalaman menghadapi cabaran hidup dan menjadikan anak-anak sebagai sumber kekuatan untuk terus maju.
- Walaupun sudah berpisah dengan bekas suami, Pija menegaskan pentingnya tanggungjawab bersama dalam menjaga anak-anak.
Sebagai seorang ibu tunggal, penyanyi, Pija Yasin berpesan agar golongan wanita sentiasa bekerja keras dalam kehidupan dan percaya dengan rezeki tuhan.
Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin berkata wanita tidak boleh terlalu lembut kerana zaman sekarang amat sukar dan penuh dengan cabaran.
Berdasarkan pengalamannya, Pija juga tidak terkecuali dalam melalui liku-liku kehidupan, namun menurutnya, anak-anak merupakan penguat diri buatnya agar tidak mudah menyerah.
“Ibu tunggal perlu bekerja keras. Zaman sekarang kita kena pandai dan tidak terlalu cengeng. Memang kita ada kelembutan tetapi kita kena kuat.
“Saya ada sahaja melalui fasa rendah juga tetapi sebab saya ada anak-anak. Saya kena teruskan juga Mereka pemberi semangat.
“Buat ibu tunggal di luar sana, jangan rasa diri tak boleh buat apa-apa. Kalau kita positif pada Allah, rezeki itu akan sentiasa ada,” katanya kepada Gempak.
Pija berkata demikian ketika ditemui di sidang media Bangkit: Bakat Yang Tak Pernah Padam di Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam masa sama, Pija turut berkata meskipun hubungannya bersama bekas suami, Datu Anwar Datu Amir Kahar telah berakhir, namun dia sentiasa memberi peringatan padanya agar menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Meskipun sukar pada mulanya, Pija berkata kini mereka telah mula mendapat rentak dalam menguruskan penjagaan anak-anak.
“Walaupun kita dah tiada apa dengan bekas suami, kita kena beri peringatan hari-hari untuk mereka bertanggungjawab kerana perkara itu akan dijawab di akhirat kelak,”ujarnya.