Pelakon, Amir Ahnaf berkongsi bahawa dia tidak menghalang adik-beradiknya untuk mengikuti jejak Langkah sepertinya dalam industri hiburan.
Bagaimanapun menurut Amir, dia sentiasa berpesan bahawa realiti dunia hiburan tidaklah semudah yang disangkakan kerana ia penuh cabaran terutama dari segi paras rupa.
"Saya terus bagi tamparan realiti dekat adik saya. Saya cakap, industri hiburan ini memang susah. Tambah pula kalau wajah sama dengan saya. Memang lagi mencabar.
"Adik saya memang berminat nak jadi pelakon. Cumanya, saya dah pesan awal-awal yang menyanyi itu susah tetapi berlakon lagi susah terutama apabila ia melibatkan paras rupa.
"Namun, saya tak pernah menghalang mereka nak cuba casting atau menceburi bidang seni. Nak buat modelling atau apa pun, saya tak kisah,"katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Amir turut menyarankan adiknya untuk menerokai bidang lain seperti bidang muzik kerana adiknya, Aleef Ahnaf mempunyai bakat dalam bidang tersbeut.
Amir juga menyatakan hasrat untuk membuka syarikat produksi muziknya sendiri suatu hari nanti agar dapat menghasilkan karya bersama adik-beradiknya.
"Tapi kami cuba juga teroka bakat lain. Adik saya pandai menyanyi. Jadi dalam tempoh lima tahun ini, saya tengah usaha bina syarikat produksi muzik sendiri supaya saya boleh hasilkan muzik untuk adik-adik saya,"ujarnya.
Sementara itu, pelakon filem Tarung: Unforgiven itu turut mendedahkan bahawa Aleef pernah menghadiri sesi uji bakat sebelum ini. Namun, realiti industri ketika ini masih mengutamakan faktor pengikut di media sosial.
"Aleef pernah cuba casting untuk sebuah projek. Watak itu sebenarnya ditulis untuk orang Terengganu, sebab itu saya suruh dia cuba.
"Tetapi itu juga juga antara realiti industri sekarang. Mereka lebih cenderung kepada faktor ‘security’ maksudnya perlu ada pengikut dan engagement yang tinggi. Benda itu tak salah, tapi itulah stigma dalam industri,"kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Amir bakal tampil dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Selain Amir, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Ikmal Amry, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Bront Palarae Aeril Zafrel dan Theebaan G.