Sekilas
- Ashraf Muslim kini aktif dalam perniagaan bersama Y.M. Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi untuk kembangkan butik JeMels Atelier yang terkenal dengan elemen bunga tanjong ikonik Selangor.
- JeMels Atelier yang berpengalaman lebih 15 tahun kini menawarkan lebih 100 rekaan kurung termasuk koleksi Raya 2026 dengan 70 rekaan baru berwarna pastel dan berani.
- Ashraf menekankan pentingnya pelan sokongan masa depan bagi anak seni dan mengagumi pelakon Datuk Rosyam Nor sebagai inspirasi dalam mengimbangi kerjaya seni dan perniagaan.
Pelakon Ashraf Muslim kini semakin aktif dalam dunia perniagaan sambil meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
Ashraf atau Muhd Ashraf Muslim berkata dia kini bekerjasama dengan Y.M. Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj untuk mengembangkan butik jenama JeMels Atelier.
Menurutnya, elemen bunga tanjong dalam koleksi JeMels sangat dekat di hati kerana dianggap ikonik dan jarang ditemui.
"Saya bersama Tengku Hishammuddin sebagai ahli kumpulan dalam bisnes JeMels ini, bersama-sama mengerah idea. Saya lihat bisnes ini sebagai peluang untuk kembangkan perniagaan. Kekuatan jenama ini ialah ia memiliki tona rana pastel dan sedap mata memandang.
"Kita juga turut mempunyai elemen bunga tanjong yang melambangkan negeri Selangor yang ikonik dan jarang ditemui. JeMels juga asalnya hanya memberi fokus pada pakaian wanita, namun kita perluaskan pada baju keluarga memandangkan hari raya semakin tiba," katanya kepada Gempak.
Ashraf berkata demikian ketika menghadiri majlis pembukaan JeMels Atelier di IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu.
Pelakon Senario The Movie itu turut mengakui menjadi anak seni bukanlah mudah kerana industri mempunyai pasang surutnya. Justeru, dia menekankan pentingnya mempunyai pelan sokongan untuk masa depan.
"Industri seni ini ada pasang surut sama seperti bisnes juga. Bukan senang nak naik sebab kita tiada EPF dan SOCSO. Orang pula datang bersilih ganti. Tiada yang boleh melindungi kita. Kalau ingin masa depan terjamin, kita perlu ada inisiatif lain dan back up plan. Kita tak tahu masa depan kita macam mana," ujarnya.
Ashraf juga menghargai mereka yang mampu seimbang antara kerjaya seni dan perniagaan, termasuk pelakon Datuk Rosyam Nor yang menjadi inspirasinya.
"Reputasi ini terletak pada individu tersebut. Reputasi jatuh jika kita terlibat dalam gosip yang tidak baik ataupun kontroversi yang boleh menjatuhkan kita. Saya amat pandang tinggi pada anak seni yang juga terlibat dengan perniaagan.
"Contohnya, Rosyam Nor. Saya sangat pandang tinggi padanya. Saya sangat mengikuti perjalanan dan perkembangan dia. Dari seorang pelakon tambahan kini Rosyam merupakan pemegang syarikat dan perniagaan. Dia memang layak dapat gelaran Datuk itu. Saya ingin mengikuti rentaknya," jelasnya.
JeMels Atelier yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri fesyen bermula dengan koleksi beg tangan, kasut tumit tinggi, selendang dan kurung bercorak. Kini, jenama itu berkembang dengan lebih 100 rekaan kurung termasuk mini kurung, kurung moden labuh serta pelbagai gaya lain.
Untuk Koleksi Raya 2026, JeMels mempersembahkan 70 rekaan baharu merangkumi tona pastel hingga warna berani, dengan rekaan minimal renda halus hingga renda mewah.