Selebriti dan pempengaruh media sosial Vietnam, Cindy atau Huỳnh Thị Diễm Mi, 24 tahun, dinobat sebagai pemenang utama All Star Influencer Award (ASIA) 2025 selepas menewaskan lebih 80 pempengaruh dari 20 negara Asia dan Timur Tengah.
Kemenangan berprestij itu melayakkan Cindy membawa pulang hadiah wang tunai RM63,690, trofi eksklusif serta pakej percutian mewah ke Dubai.
Advertisement
Tempat kedua menjadi milik pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia, yang menerima trofi, wang tunai RM21,130, dan percutian ke Dubai. Diikuti pempengaruh dari Kemboja, Rainnie Dara, yang membawa pulang trofi tempat ketiga, wang tunai RM12,678, dan turut menikmati percutian mewah ke Dubai.
Cindy yang turut memenangi kategori Pencerita Terbaik berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan membawa pulang kemenangan besar itu memandangkan persaingan sengit daripada peserta lain.
“Saya tidak menjangka kemenangan ini, terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya. Wang kemenangan ini saya akan manfaatkan untuk kegunaan keluarga terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Sunway Resort Hotel, lokasi rasmi penganjuran majlis berprestij tersebut.

Penganjur, Datuk Abd. Rahman Soltan, berkata ASIA2025 merupakan platform yang menggabungkan dunia digital dan pelancongan secara unik, sekali gus membuka peluang kepada pempengaruh dari seluruh Asia dan Timur Tengah untuk menyerlah serta memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia.
“Lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan membuktikan gabungan kreativiti digital dan promosi pelancongan mampu mencipta impak besar dalam memperluaskan jangkauan serta meningkatkan kesedaran terhadap destinasi dan budaya kita.
"Ini menunjukkan bahawa dengan gabungan kreativiti, teknologi dan sokongan bersepadu, kita boleh membawa Malaysia ke persada dunia digital dengan lebih berkesan. Kami percaya pengaruh digital kini memainkan peranan penting dalam membentuk imej negara dan membuka peluang baharu dalam industri pelancongan.
"Kami mahu ASIA2025 menjadi ruang bagi pencipta kandungan untuk mengasah bakat, berkongsi inspirasi dan bersama-sama memajukan industri digital serta pelancongan di rantau ini,” katanya.

Sepanjang beberapa bulan penganjuran, lebih 80 pempengaruh dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Mesir dan Jordan telah menjelajah ke destinasi pelancongan utama di Malaysia seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Johor.
Melalui cabaran digital dan aktiviti penciptaan kandungan kreatif, mereka berjaya menjana lebih 1.3 bilion capaian tontonan digital di pelbagai platform media sosial, mengatasi rekod tahun sebelumnya sebanyak 518 juta tontonan.
ASIA2025 turut menjadi sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan Malaysia secara digital seiring kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia.
Program berskala besar ini turut mendapat sokongan penuh MOTAC bagi mengangkat industri pelancongan digital ke peringkat antarabangsa.
Penaja utama, Tune Talk, turut memainkan peranan penting dari segi komunikasi dan teknologi bagi memastikan capaian digital program ini lebih meluas.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, berkata ASIA2025 bukan sekadar meraikan pengaruh digital tetapi menjadi simbol pengiktirafan terhadap semangat, kreativiti dan kuasa hubungan sesama manusia.
“Sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi, Tune Talk berbangga berdiri bersama para pencipta kandungan yang terus menginspirasi dan menghubungkan komuniti di seluruh Asia sambil mencerminkan semangat yang kami junjung, iaitu memastikan semua terus terhubung dan memberi kuasa kepada suara autentik untuk didengari,” ujarnya.
Sebagai rekod, tahun lalu tanda pagar #AllStarInfluencerAward2024 mencatat lebih 518 juta capaian digital dan tular di pelbagai platform media sosial. Pemenang utama edisi 2024, Saal Haerid dari Indonesia, membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000, trofi eksklusif dan pakej percutian mewah ke Dubai.