Sekilas
- Pelakon Trisha Ooi menerima ancaman dari peminat yang tidak suka wataknya sebagai Bella dalam drama 'Jika Cinta Itu Buta'.
- Trisha anggap kebencian itu sebagai pujian kerana ia menunjukkan watak Bella berjaya meninggalkan kesan.
- Dia berharap penonton dapat membezakan antara watak Bella dan dirinya serta tidak mengambil tindakan negatif terhadapnya.
- Trisha juga mengajak peminat untuk melihat watak Bella dengan empati dan memahami sisi emosi serta cabarannya.
- Drama ini ditayangkan di Astro Prima dan turut dibintangi oleh Uqasha Senrose, Keith Foo, dan Shah Jaszle.
Pelakon, Trisha Ooi menerima ancaman dari kalangan peminat yang membenci karakternya dalam drama terbaharunya iaitu 'Jika Cinta Itu Buta'.
Dengan memegang watak sebagai Bella, pelakon berusia 26 tahun itu bukan sahaja diugut tampar malah ingin dicili oleh peminat kerana tidak berpuas hati dengan sikap biadab Bella.
Bagaimanapun menurutnya, setiap penghinaan dan kebencian yang dilempias peminat kepadanya ibarat satu pujian buat keberkesanan watak Bella.
“Jujur, saya anggap itu satu pujian. Bila orang betul-betul marah dengan watak itu (Bella), maknanya mereka percaya dengan lakonan saya.
“Saya baca komen-komen (tampar, nak cili) dengan hati terbuka, sebab itu tanda watak Bella meninggalkan kesan. Tapi dalam masa sama, saya harap penonton dapat membezakan antara Bella dan Trisha.
“Dan harap jangan cili betul-betul lah ya,” katanya sambil tersenyum.
Dalam masa sama, Trisha juga meminta agar peminat jangan terbawa perasaan negatif membenci Bella sebaliknya menyelami isi hatinya.
“Saya faham kenapa ramai benci Bella. Tapi cuba tengok dia dengan sedikit empati. Kadang orang yang paling menyakitkan kita, sebenarnya paling banyak terluka.
“Jadi tengok dia bukan sebagai musuh, tapi sebagai cermin dan mungkin ada sesuatu yang kita boleh belajar dari watak Bella,” ujarnya.
Trisha turut meluahkan rasa puas hati dan teruja kerana berpeluang membawa watak yang sarat dengan emosi dan cabaran.
“Sebenarnya setiap kali ke set, saya bukan berlakon tapi menyelami cara Bella berfikir kerana ia bukan hanya sekadar jahat tapi di luar jangkaan. Saya perlu faham keputusan-keputusan yang orang luar nampak “salah”, tapi bagi Bella itu cara untuk bertahan.
“Bella punya sisi dramatik, penuh emosi dan itu mencabar tapi seronok sebab dia beri ruang untuk saya bereksperimen,” jelasnya.
Jika Cinta Itu Buta merupakan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd yang sedang ditayangkan di saluran Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.
Selain Trisha, bintang yang turut tampil dalam drama tersebut ialah Uqasha Senrose, Keith Foo dan Shah Jaszle.
Drama arahan Uchee Fuckada dan Ain Shariff ini mengisahkan perkahwinan Farid dan Maryam yang diuji apabila Maryam menjadi buta dan skandal Farid terbongkar.
Dalam perjuangan Maryam menuntut haknya, Adam banyak membantu hingga hubungan Adam dan Bella semakin tegang, memberi peluang kepada Bella untuk merampas Farid.
Selepas bercerai, satu demi satu penderitaan Maryam terubat dengan kehadiran insan-insan baik dalam hidupnya.