Sekilas
- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengesahkan tiada pelanggaran SOP dalam operasi tangkapan anjing liar yang menyebabkan kematian seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah.
- Insiden berlaku akibat perebutan antara individu yang mengaku pemilik anjing tersebut sehingga mengganggu operasi tangkapan yang menggunakan kaedah mengikut SOP KPKT.
- MBDK menerima kira-kira 50 aduan anjing liar setiap bulan dan menghadapi kekangan anggota serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta untuk membantu operasi tangkapan.
Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi tangkapan anjing liar dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang menyebabkan kematian seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah, Klang, minggu lalu.
Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah perebutan daripada individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan sehingga mengganggu operasi tangkapan itu.
Beliau berkata, kaedah tangkapan yang digunakan pihaknya adalah mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kalau ikut penjelasan pegawai dan anggota terlibat, kita mengikut SOP ditetapkan. Tangkapan menggunakan loop ataupun menggunakan jaring, itulah kaedah yang kita gunakan.
"Pada operasi malam tersebut, kita telah pun berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama daripada penduduk. Cuma insiden berlaku apabila kita cuba menangkap anjing yang ke-13.
"Akibat daripada perebutan oleh penduduk yang mengaku sebagai pemilik itu, anjing berkenaan terjerut sehingga menyebabkan kematiannya," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, individu yang mendakwa memiliki anjing berkenaan sepatutnya membuat tuntutan selepas haiwan itu ditangkap mengikut prosedur ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, individu terbabit kemudiannya mendakwa anjing tersebut bukan miliknya.
"Kalau ikut kenyataan awal, dia cakap anjing itu miliknya, tapi akhir sekali dia cakap bukan pula. Jadi kita tak tahu. Jadi, kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan selesai.
"Setakat ini, dua orang pegawai MBDK yang berkaitan telah pun dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis," katanya.
Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, persepsi masyarakat terhadap kaedah tangkapan anjing adalah berbeza, namun pihaknya perlu mengambil kira aspek keselamatan anggota serta penduduk.
"Kalau kita tangkap anjing macam tangkap rama-rama mungkin berbeza sebab bila anjing ini satu binatang yang agresif, kita tak boleh nak tangkap secara berlemah lembut kerana ia boleh membahayakan kita dan juga boleh terlepas," katanya.
Beliau berkata, notis pemakluman mengenai operasi tangkapan anjing liar juga diberikan lebih awal menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), manakala operasi tersebut membabitkan 11 anggota MBDK bersama kira-kira 50 penduduk.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan menjejaskan keselamatan penduduk.
"Kita menerima kira-kira 50 aduan anjing liar setiap bulan. Masalah ini agak kritikal di kawasan berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan aduan yang diterima," katanya.
Abd Hamid berkata, pihaknya berdepan kekangan untuk menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta bagi menjalankan operasi tangkapan.
"Kita cuba mencari syarikat swasta untuk menjalankan kerja tangkapan tetapi tiada yang bersedia. Jadi usaha ini dibuat sendiri oleh kakitangan majlis.
"Kakitangan kita kurang daripada 20 orang sedangkan aduan banyak dan kawasan Klang sangat luas. Anjing pula banyak berada di kawasan industri serta perumahan dan biasanya keluar pada waktu malam, menyebabkan sukar ditangkap dengan segera," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, operasi penangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.