Skip to main content

Berita

Isteri Ketiga Bekas Panglima Tentera Darat Alami Bisul Kronik, Terpaksa Duduk Di Kandang Tertuduh

gfhfhtftf

Sekilas

  • Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat, Salwani Anuar @ Kamaruddin, hadir ke Mahkamah Sesyen dengan menggunakan kerusi roda kerana mengalami bisul kronik di paha ketika menghadapi empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.
  • Salwani didakwa menerima wang haram melalui akaun bank syarikat Wany Venture dalam beberapa transaksi antara tahun 2023 dan 2024.
  • Suami Salwani, bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2 juta dalam kes berasingan yang disiasat SPRM.

Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang mengalami kesakitan akibat bisul kronik di paha, hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bagi menghadapi empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, 2024 dan tahun lalu.

Semasa prosiding, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, kemudiannya memohon kepada Hakim, Rosli Ahmad, supaya anak guamnya tidak perlu berdiri ketika menjawap pertuduhan.

“Tuan, saya harap Salwani dibenarkan duduk, kerana dia mengalami kesukaran untuk berdiri kerana sakit di paha akibat bisul yang kronik.

“Pagi tadi, dia hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Aizul Rohan Anuar.

Selepas mendengar permohonan tersebut, Rosli membenarkan perkara tersebut.

Salwani yang memakai jubah dan bertudung hitam berjalan dengan perlahan ke kandang tertuduh.

Mengikut empat pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM50,000, RM7,000 dan dua lagi transaksi dengan jumlah masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke akaun bank milik syarikat itu.

Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Turut hadir ialah Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.

Di Mahkamah berasingan, suami Salwani, bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, 58, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Azura Alwi atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu. 

Pada 15 Januari lalu, SPRM menahan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung siasatan kes jenayah berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Mindef.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement