Sekilas
- Global Station mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan salah laku yang sedang tular, menegaskan mereka mengambil serius isu keselamatan dan kesejahteraan semua pihak dalam produksi.
- Pihak produksi bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan sedang mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara yang berlaku.
- Mereka memohon orang ramai tidak membuat spekulasi atau mengaitkan isu ini dengan mana-mana individu serta menghormati privasi semua yang terlibat sehingga siasatan selesai.
Syarikat produksi drama, filem dan telefilem, Global Station tampil memuat naik kenyataan rasmi susulan isu dakwaan salah laku yang sedang diperkatakan ramai, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, pihaknya memandang serius mengenai isu berkenaan dan menghargai setiap kerisauan dari semua pihak.
"Global Station maklum mengenai isu dan kebimbangan yang sedang diperkatakan di media sosial ketika ini.
"Kami memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam produksi kami.
"Kami menghargai pihak yang tampil berkongsi dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perkara ini,"tulisnya.
Sebagai penerbit drama tersebut, pihak Global Station bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan lanjut, selain mengambil tindakan sewajarnya atas segala perkara yang berlaku.
"Kami sedang mengambil langkah langkah sewajarnya untuk memahami keadaan yang berlaku dan akan bertindak secara adil dan bertanggungjawab terhadap sebarang perkara dibawa bidang kuasa kami.
"Kami juga mengambil maklum bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara. Sebagai pihak penerbit, kami bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan,"ujarnya.
Dalam masa sama, pihak Global Station turut memohon agar orang ramai tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan mengaitkan isu tersebut dengan mana-mana individu.
"Kami memohon agar orang ramai menghormati privasi semua pihak yang terlibat dan tidak membuat sebarang spekulasi selagi perkara ini belum mendapat penyelesaian.
"Kami juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau mengaitkan perkara ini dengan mana-mana individu,"katanya lagi.
Terdahulu, seorang pelakon wanita mendedahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya tanpa sebab ketika penggambaran.
Pelakon wanita itu mendakwa dia terpaksa mengambil pendekatan untuk berjumpa dengan pengarah bagi meminta agar babak membabitkan sentuhan fizikal dikurangkan selepas mendakwa aktor berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan.